Pages

21 June 2009

Khilaf@Perselisihan Pendapat (Bhgn 1)

Khilaf atau perselisihan pendapat adalah sesuatu yang biasa dalam semua bidang dan tidak terkecuali bidang agama. Maka dengan itu debat telah sekian lama menjadi salah-satu daripada cara yang berkesan dalam menyelesaikan perselisihan pendapat. Debat digunakan sebagai jalan untuk mencari kebenaran, memperbetulkan kesilapan dan berkongsi pandangan. Debat yang sebenar sepatutnya berakhir dengan jalan damai sama ada salah satu pihak adalah benar dan pihak yang satu lagi salah atau kedua-dua pihak adalah benar.

Malangnya, terdapat sesetengah golongan yang merasakan dirinya terlebih hebat dan terlebih benar sehingga sanggup menghukum mereka yang tidak sependapat dengan mereka sebagai bodoh, tidak cukup ilmu, songsang dan sesat. Hal sebegini biasa berlaku terutamannya dalam perselisihan pendapat tentang hal-hal keagamaan. Mereka yang merasakan diri mereka sudah terlalu hebat dalam agama, tidak dapat menerima hakikat yang orang lain tidak bersetuju dengan pendapat mereka lantas dengan sewenang-wenangnya memberi tohmahan dan hinaan kepada orang lain tanpa usul-periksa.

Contoh mudah yang dapat saya berikan di sini adalah berkaitan peristiwa yang menimpa Imam Syafie Rahimahullah. Beliau tidak menerima Istihsan sebagai salah-satu daripada sumber hukum kerana khuatir Istihsan akan membuka jalan kepada nafsu manusia untuk menggubal hukum sesuka hati yang mana akan membawa kerosakan maha besar terhadap agama. Dengan itu Imam Syafie berkata barangsiapa yang mengamalkan Istihan, mereka seolah-olah telah mencipta suatu syariat baru.

Tatkala mendengar perkataan Iman Syafie, pengikut yang fanatik terhadap Imam Hanafi menjadi berang. Sebabnya, Imam Abu Hanifah ketika hidupnya mengiktiraf Istihsan sebagai salah-satu sumber perundangan Islam. Pengikut Imam Abu Hanifah yang taksub ini pun mengambil langkah membalas kata-kata Imam Syafie tersebut dengan cara menyebarkan tohmahan dan fitnah bahawa Imam Syafie adalah orang yang songsang dan sesat.

Sebenarnya, Imam Syafie tidak bermaksud untuk mengatakan Imam Hanafi sebagai sesat. Apa yang ingin dimaksudkan oleh Imam Syafie itu adalah bagi orang yang tidak berpengetahuan agama dan bukan ahli dalam penggunaan Istihsan sekiranya menggunakan Istihsan seolah-olah mencipta suatu syariat baru.

Malangnya, mereka yang taksub terhadap Imam Hanafi melebihkan emosi mereka daripada ilmu dan adab dalam berselisih faham sanggup menghukum Imam Syafie sebagai sesat. Ramai lagi sarjana-sarjana Islam yang telah menerima nasib yang sama. Antaranya Ibn Taimiyyah, Begitulah buruknya sikap mereka yang merasakan diri mereka terlebih hebat dalam beragama.

Contoh lain berlaku kepada Imam Ahmad Bin Hanbal Rahimahullah. Beliau tidak sependapat dengan ajaran Mu'tazilah yang mengatakan Al-Qur'an itu sebagai makhluk. Lantas kerajaan yang pada ketika itu dikuasai oleh fahaman Mu'tazilah telah menangkap Imam Ahmad dan menghumbannya ke penjara. Imam Ahmad yang tetap pendirian enggan untuk menurut pandangan Mu'tazilah tersebut menyebabkannya telah dipenjara selama bertahun-tahun.

Bukan itu sahaja, ramai lagi sarjana Islam termasuklah para sahabat nabi sendiri yang telah menerima nasib yang serupa yakni dihina, ditohmah dan difitnah kerana tidak sependapat dengan mereka yang lain. Mereka yang bermazhab A mengkafirkan dan menghukum mereka yang bermazhab lain daripada mereka sebagai sesat dan begitu juga sebaliknya. Begitulah buruknya sikap orang yang tidak tahu adab berselisih faham. Mereka merasakan hanya diri mereka yang benar dan orang lain semuanya sesat dan salah. Mereka ini sebenarnya tidak layak digelar ilmuan. Tohmahan dan hinaan mereka tidak lain hanyalah sampah. Mereka menghukum orang lain sebagai sesat tetapi tidak sedar kedudukan mereka sendiri. Kasihan mereka.

Bersambung...

No comments: