Pages

25 June 2009

Kerajaan Perpaduan 2

Amat mendukacitakan, itulah pandangan penulis terhadap keputusan yang dibuat oleh pakatan pembangkang terhadap idea Kerajaan Perpaduan. Baru sahaja Nik Aziz mula berlembut dengan kedegilannya (meskipun beliau rasa beliau beristiqomah), keputusan ini menjadi kata putus kepada pendirian pakatan pembangkang monolak cadangan Kerajaan Perpaduan meskipun orang mereka sendiri yang mencadangkannya.

Penulis turut berkongsi perasaan dan pandangan yang diutarakan oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria. Berikut adalah kata-kata beliau:

‘‘Saya sebenarnya amat berharap benda ini (kerajaan perpaduan) jadi (kenyataan) sebab saya sendiri memperjuangkan supaya masyarakat Melayu dan Islam ini bersatu."

‘‘Tapi saya kecewa. Mereka ini taksub kepada parti sehingga menganggap sesama mereka (dalam parti sendiri dan parti-parti Melayu lain) bukan bersaudara. Politik itu politiklah tapi persaudaraan Islam itu mestilah dijaga, maka haramlah memutuskan tali persaudaraan Islam itu.”

Penulis melihat penolakan kepada idea ini sebagai salah satu langkah yang mengekalkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam sekaligus akan melambatkan proses penubuhan negara Islam di Malaysia.

Penulis sempat membuka laman sesawang Harakah Daily dan membaca artikel Pas tidak Pernah Langgar Janji, Tinggal Kawan. Berikut adalah antara kata-kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad yang dipetik daripada artikel tersebut:

"Ini merupakan kehebatan yang ada pada pimpinan PAS dalam menangani krisis yang mana pimpinan Umno perlu mempelajari apa yang ditunjukkan oleh pimpinan PAS dalam menghadapi isu yang begitu besar."

"PAS yang terkenal sebagai parti yang tidak pernah melanggar perjanjian sewaktu berkawan dengan mana-mana parti yang mengikat perjanjian bersama..."

Penulis tidak pernah melihat ini sebagai suatu kehebatan bahkan suatu kesilapan maha besar. Persoalan penulis adalah adakah semangat setiakawan terhadap orang kafir itu adalah lebih utama daripada semangat persaudaraan dalam Islam? Adakah semangat setiakawan terhadap orang kafir itu membolehkan seorang Islam berpaling daripada saudara seislamnya sendiri? Pernahkah Islam mengajar supaya kita mendahulukan orang kafir daripada saudara Islam kita sendiri?

Ada orang yang mendabik dada dan berbangga dengan merasakan keputusan ini sebagai suatu keputusan yang bijaksana. Sebaliknya penulis sependapat dengan Mufti Perak dengan melihat keputusan ini sebagai suatu keputusan yang memudarkan masa depan Islam di Malaysia.

Islam itu tidak tertubuh atas dasar perpecahan dan perbezaan. Islam menjadi kuat dengan sebab tolak ansur dan perpaduan.