Pages

07 May 2009

Kejahilan di Hari Jumaat

Solat Jumaat itu hukumnya wajib ke atas setiap Muslim tetapi tidak pula kepada muslimah dengan ijma' (kesepakatan) ulama'. Saya yakin rata-rata sudah sedia maklum dengan hukum ini justeru saya ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu berkenaan dengan solat Jumaat sebagai panduan kepada diri saya sendiri juga setiap lelaki muslim supaya mereka tidak sekadar melakukan ibadah secara membabi buta.

Di sini saya senaraikan kesalahan yang sering dilakukan pada hari Jumaat samaada dengan sebab kejahilan ilmu agama atau mungkin dengan sebab sengaja memperlekeh solat Jumaat. Yang peliknya ada di antara mereka yang kelihatan kononnya hebat sangat ilmu agama tetapi tetap melakukan kesalahan sama. Ketahuilah bagi mereka yang jahil itu tanggungjawab untuk mempelajari ilmu agama manakala bagi mereka yang sedia tahu itu hendaklah mengamalkannya kerana sesungguhnya mengabai atau memperlekehkan ibadah itu ialah suatu perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.

Saya tidak ingin meredhakan perbuatan sebahagian daripada kenalan saya yang begitu liat untuk mengerjakan solat Jumaat. Entah apa sebabnya penderhaka-penderhaka ini begitu asyik dan senang hati sekali menderhakai perintah Allah walhal solat Jumaat itu hanyalah sekali seminggu dan kebanyakannya tidak sampai pun sejam. Tidak hadir menunaikan solat Jumaat itu merupakan suatu kesalahan besar di sisi agama sebagimana sabda Rasulullah:

عن عبد الله ابن عمر وأبي هريرة حدثاه أنهما سمعا رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول على أعواد منبره: "لينتهين أقوام عن ودعهم الجمعات أو ليختمن الله على قلوبهم ثم ليكونن من الغافلين"

Daripada Abdillah Ibni Umar dan Abi Hurairah, kedua-duanya mendengar Rasulullah bersabda tatkala baginda berkhutbah di atas mimbarnya: “Hendaklah dihentikan perbuatan kaum yang suka meninggalkan solat Jumaat kerana barangsiapa yang meninggalkannya nescaya Allah akan menutup hati-hati mereka kemudian jadilah mereka dalam kalangan orang-orang yang lalai”
[Riwayat Bukhari]

Kedua, ramai orang yang sengaja berlengah atau datang lambat ke masjid. Ada kenalan saya yang kononya sibuk benar kehulu-hilir memperjuangkan Islam dan negara Islam katanya tetapi masih di depan komputer bermain permainan video sedangkan azan sedang berkumandang. Mungkin cara in pada hemat dia boleh menegakkan Islam barangkali.

Antara sebabnya ialah mereka malas untuk mendengar khutbah. Entah syaitan apa yang menempel di telinga mereka sehingga membuatkan mereka tidak mahu mendengar ajaran agama. Atau mungkin bukan salah syaitan, barangkali mereka sendirilah syaitan yang bertopengkan manusia kerana syaitan memang tidak suka mendengar ajaran-ajaran agama.

Ada juga yang mengambil alih tugas syaitan untuk menghasut orang lain supaya datang lewat katanya masih awal lagi sedangkan azan zohor sudahpun berkumandang. Saya percaya golongan seperti ini mendapat tabik hormat dan kedudukan yang tinggi di sisi syaitan.

Ketahuilah sesungguhnya mereka yang datang awal ke masjid pada hari Jumaat mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah sebagaimana firman Allah:

"Wahai orang-oran yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu adalah jauh lebih baik sekiranya kamu mengetahui"
[Surah al-Jumu'ah: 9]

Sabda Rasulullah:

عن أبي هريرة، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: "من اغسل يوم الجمعة غسل لاجنابة ثم راح فكأنما قرب بدنة ومن راح في الساعة الثانية فكأنما قرب بقرة ومن راح في الساعة الثالثة فكأنما قرب كبشا أقرن ومن راح في الساعة الرابعة فكأنما قرب دجاجة ومن راح في الساعة الخامسة فكأنما قرب بيضة فاذا خرج الامام حضرت الملائكة يستمعون الذكر"

Daripada Abi Hurairah, katanya Rasulullah bersabda: “Barangsiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi junub dan kemudian berpagi-pagi pergi ke masjid maka ganjarannya seolah-olah ganjaran berkorban seekor unta gemuk, barangsiapa yang pergi pada jam kedua, maka ganjarannya seperti ganjaran berkorban seekor sapi, barangsiapa yang pergi pada jam ketiga maka pahalanya sebagaimana berkorban seekor kibas, mereka yang pergi pada jam yang keempat seolah-olah berkorban seekor ayam dan mereka yang pergi pada jam kelima seolah-olah berkorban sebiji telur. Apabila keluar imam untuk memberi khutbah, hadirlah malaikat untuk mendengarnya”
[Riwayat Bukhari]

Ketiga, berjual-beli sedangkan Khatib sudah mula berkhutbah. Perbuatan ini sangat lazim terutama di masjid-masjid yang mempunyai bazar pada hari Jumaat. Ada yang masih sempat makan cendol dan nasi lemak sedangkan khatib sedang membaca khutbah. Barangkali dia sudah kebulur sangat sehinggakan tidak lagi mampu menunggu sehingga selesai solat jumaat. Allah menempelak perbuatan sebegini dalam firmannya ayat 11 Surah Jumu'ah yang sebab nuzulnya seperti berikut:

عن جابر بن عبد الله قال أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يخطب قائما يوم الجمعة فجاءت عير من الشام فانفتل الناس اليها حتى لم يبق إلا اثنا عشر رجلا فأنزلت هذه الأية
:

Daripada Jabir bin Abdillah katanya ketika Rasulullah sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba sampai kafilah membawa dagangan daripada Syam maka mereka yang tadi mendengar khutbah pun menuju ke pada kafilah dagang itu hingga yang tinggal hanyala 12 orang maka turunlah ayat:

"Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan mereka menuju kepadanya dan meninggalkan kamu yang sedang berkhutbah, katakanlah sesungguhnya apa yang di sisi Allah itu jauh lebih baik daripada permainan dan peniagaan dan sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik pemberi rezki"
[Surah al-Jumu'ah: 11]

Seterusnya, bercakap atau berborak ketika khatib sedang berhutbah. Perbuatan ini menjadikan amalan solat Jumaat sebagai sia-sia sebagaimana sabda Rasulullah:

عن أبي هريرة أخبره أن رسول الله قال إذا قلت لصحابك أنصت يوم الجمعة والامام يخطب فقد لغوت

Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah bersabda: "Sekiranya kamu berkata kepada kawanmu 'Diamlah !' sedangkan imam sedang berkhutbah maka sia-sialah (pahala Jumaat)"

Akhir sekali, tidak menunaikan solat sunat sedangkan solat tersebut dituntut dan digalakkan oleh Rasulullah. sabda baginda:

عن جابر بن عبد الله قال، بينا النبي صلى الله عليه وسلم يخطب يوم الجمعة أذ جاء رجل فقال له النبي صلى الله عليه وسلم "أصليت يا فلان؟" قال لا، قال "قم فاركع"

Daripada Jabir bin Abdillah, ketika Rasulullah sedang berkhutbah Jumaat, dating seorang lelaki lalu dia duduk maka Rasulullah bersabda: “Sudahkah engkau solat?” Jawabnya: “Belum” Bersabda Rasul: “Berdirilah engkau dan solatlah”.
[Riwayat Bukhari]

Semoga dengan peringatan ini dapat kiranya memberi panduan kepada para pembaca sekalian. Diharapkan sesudah membaca post ini dapatlah kiranya anda berubah daripada seorang penderhaka agama atau orang yang memperlekehkan ibadah kepada orang yang lebih bertaqwa kepada Allah.

1 comment:

ain farahain said...

skang ni org x men la borak2 time khutbah
org pas sms~

apsal lelaki SUSAH sangat ek nk g smyg jumaat awal?
sedar la yg korang dpt tazkirah free
every week kompem dpt pahala (banyak plak tuh)
pastuh dpt bersihkan jiwa
tu pon x reti2 nak g solat jumaat
pfft~

kitorg org pompuan ni
terpaksa cari n attend cramah agama
tu pon kalo ade kesedaran
kalo x de
phm2 je la~