Pages

01 April 2009

Tarjih - Isu Rokok

Saya kini berada di ambang peperiksaan. Justeru saya meminta maaf kerana tidak dapat mengemaskini blog ini dengan kerap disebabkan terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan juga terlalu banyak mata pelajaran untuk dihafal. Tambahan pula, saya tidak dapat menulis dengan baik jika tidak berada dalam keadaan hati dan minda yang tenang. Saya berharap semoga para pembaca dapat mendoakan kejayaan saya dalam peperiksaan dan juga dalam kehidupan.

Sungguhpun begitu di waktu senggang yang ada ini saya berkenan untuk menulis sedikit sebanyak berkaitan dengan fiqh atau lebih khusus lagi dalam bab tarjih. Tarjih ini secara mudahnya boleh didefinasikan sebagai mengutamakan suatu pendapat lebih daripada pendapat lain dengan bersandarkan pada asas yang tertentu atau dalam Bahasa Inggeris kita boleh sebut sebagai preferance.

Misalnya, katakan terdapat beberapa pendapat berkenaan hukum sesuatu perkara maka kita menggunakan kaedah tarjih untuk memilih satu pendapat yang paling baik, paling kuat dan paling sesuai untuk diamalkan oleh kita tetapi harus kita ingat pemilihan ini haruslah bersandarkan asas yang kukuh.

Untuk penerangan lanjut, saya suka untuk mengupas dengan lebih mendalam isu rokok kerana ini lebih dekat dengan masyarakat dan lebih mudah difahami oleh para pembaca sekalian. Sebagaimana yang anda maklum (bagi mereka yang maklum) dan untuk pengetahuan anda (bagi mereka yang tidak maklum), sepanjang ingatan saya sebagaimana yang telah saya pelajari di sekolah menengah dahulu, ulama’ telah berbeza pendapat berkaitan dengan hukum merokok yang secara ringkasnya dapat kita sebutkan dalam tiga bentuk:
  1. Haram
  2. Makruh
  3. Harus


Melihat kepada tiga hukum yang disebutkan di atas, tidak dapat tidak untuk kita membuat pendirian dalam memilih salah satu daripada hukumnya. Semestinya bagi mereka yang benci kepada rokok akan memilih hukum haram manakala mereka yang merokok memilih hukum makruh atau harus bagi membenarkan mereka merokok.

Pada pendapat saya, cara yang sebegini adalah tidak tepat. Cara yang betul untuk melakukan tarjih adalah dengan melihat dalil yang dibawakan oleh ulama’ dalam mengeluarkan hukum-hukum tersebut. Tarjih bukan bermakna kita boleh memilih sesuka hati berdasarkan kehendak dan nafsu kita. Tarjih memerlukan sandaran yang diterima syara’atau istilahnya murajjih.

Bagi perokok, mereka pastinya memilih hukum harus atau makruh bagi menyedapkan hati mereka dan sebagai hujah yang mereka tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syarak manakala bagi yang benci akan rokok pastinya akan memilih hukum haram untuk menghindarkan rokok.

Saya agak keberatan untuk menulis pilihan saya di sini kerana khuatir ada dalam kalangan rakan-rakan saya yang tersinggung sungguhpun kebanyakan mereka berfikir yang saya ini tidak reti menjaga perasaan orang lain. Namun apakan daya saya perlu menjadikan sifat menyampaikan itu sebahagian daripada resmi saya. Jadi tetap saya akan merperkatakan sesuatu berkenaan dengannya kerana saya percaya bantuan Allah itu bersama-sama dengan hambanya yang mengajak kepada kebenaran.

Sepanjang pengamatan saya, saya tidak dapat melihat sebab musabab untuk mengguna-pakai hukum merokok itu harus atau makruh melainkan satu-satunya hukum yang sesuai dan layak baginya adalah haram. Walaupun terdapat bukti (yang saya tidak pesti benar atau tidak) yang menyatakan ada faedah yang boleh diperoleh daripada merokok seperti kononnya boleh melegakan selsema, manghangatkan badan dan lan-lain, bagi saya ini tidak dapat digunakan sebagai hujah kerana faedah yang sedikit itu tidak terbandingkan dengan mudharat yang banyak (rasanya tidak perlu saya senaraikan di sini). Sebagaimana yang telah disebut oleh Allah yang sesungguhnya di dalam arak itu ada manfaat dan keburukan tetapi tetap, hukum arak itu haram kerana mudharatnya lebih besar dariada manfaat.

Ada pula orang yang terlebih hebat pengetahuan agamanya ingin menggunakan kaedah usul fiqh: al-aslu kullu asyya’ ibahah (hukum asal kepada setiap perkara itu adalah harus) dan berhujah memandangkan tiada nas (keterangan) dalam Al-Quran atau sunnah yang menunjuk kepada pengharamannya. Sebab apa saya kata mereka ini terlebih hebat adalah kerana mereka terlepas pandang yang Al-Qur’an dan sunnah itu menggariskan panduan secara umum kerana jika semua perkara disebut di dalam Al-Quran maka naskhah Al-Quran itu akan lebih tebal daripada tingginya KLCC.

Jadi terpulang kepada anda, untuk menarjihkan mana-mana pendapat asal saja anda mempunyai asas yang diterima syara' bukan semata-mata untuk menghalalkan perbuatan anda. Saya tidak mempunyai masalah sekiranya anda tidak bersetuju dengan saya tetapi sila bawakan hujah anda supaya saya dapat bersetuju dengan anda.

5 comments:

Anonymous said...

mcmn pulak dgn org2 yg x tau lgsg psl hukum dan sbgnye? yg x tau nk tgk kat mana pun? kalo dia ikut org punye pendapat?

Raafiq said...

pergh..terasa syal....

a..mcm mana dgn makanan2 ringan?yg ada pengawet contohnya..meskipun pengawet dan perasa tu "yang dibenarkan" tapi ada jugak mudharat kalo dilantak setiap hari..

rokok,sebagai perbandingan.kandungan2 bhn kimia dalam tu jugak dalam konteks "yang dibenarkan" kementerian kesihatan..

yes,"makanan",tak kisah ringan ke berat,mengenyagkan.tu yg membezakan dengan rokok.

tp rokok,bagi perokok2,lebih kurang "kenyang" jugak..untuk definisi "kenyang rokok" ni,tanyalah para perokok yang berdekatan..

dalam tarjih menarjih ni,kaji dulu sbab apa kluar hukum2 haram,makruh,harus.hujah2 bagi setiap hukum.then buat penilaian..

sekian,wallahualam...

syfadh said...

Sepanjang pengetahuan saya, kita tidak membandingkan perkara yang buruk dengan perkara yang buruk dalam mengeluarkan hukum.

Melihat kepada masalah makanan ringan, memang benar makanan ringan memudharatkan kesihatan begitu juga dengan makanan-makanan lain seperti gula dan lemak. Makanan laut jika dimakan berlebihan juga boleh menyebabkan gout misalnya.

Namun persoalannya, berapa ramai bilangan yang menderita kerana makanan jika dibandingkan dengan mereka yang menderita kerana rokok.
Rokok bukan sahaja memudharatkan penghisapnya bahkan membunuh orang disekelilingnya. Makanan memberikan faedah mutlak tidak seperti rokok.

Dibenarkan kementerian kesihatan tidak bermakna sesuatu itu menjadi halal. Kementerian Kesihatan bukan penentu kepada hukum agama, kalau ini benar maka akan halallah arak kerana terkandung di dalamnya bahan kimia yang dibenarkan Kementerian Kesihatan.

Begitu juga penagihan dadah akan menjadi halal kerana terkandung dalam dadah itu bahan kimia yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kenyang rokok itu tidak boleh dibandingkan dengan kenyang makanan. Qiyas seperti ini sangatlah terpesong dari landasan yang benar. Adakah manusia itu akan mempu terus hidup hanya dengan merokok dan tidak makan?

Begitulah jawapan saya.
Semoga diredhai Allah.

Raafiq said...

er..
irrebuttable..
aku stuju ngan ko..
nanti aku stop la..

syfadh said...

Saya meminta maaf kepada anonymous kerana lambat menjawab soalan anda.

Inilah masalahnya dengan umat Islam di zaman sekarang, mereka sekadar Islam dengan sebab keislaman ibubapa mereka maka dengan sebab itu mereka tidak tahu berkaitan dengan hukum.

Ulama' membenarkan taqlid kepada orang yang tidak berupaya dan tidak layak mengeluarkan hukum tetapi harus diingat yang orang yang diikuti itu haruslah mereka yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam agama bukan sebarangan orang yang dilihat di tepian jalan lalu diikut kerana yang demikian akan membawa kepada kesesatan.

Kepada mereka yang tidak tahu mengenai hukum dan tidak tahu juga di mana dia perlu merujuk saya nasihatkan supaya mencari guru agama yang berkelayakan sebagai tempat rujukan dan jangan sekadar mengikut orang sahaja kerana ditakuti terikut ajaran yang tidak benar.