Pages

21 March 2009

PPSMI

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), perkara ini telah menambahkan lagi ketegangan yang sedang menimpa rakyat Malaysia. Meskipun PPSMI telah dilaksanakan selama 6 tahun (bermula pada tahun 2003), bantahan dan tentangan yang disalur dan disuarakan melalui pelbagai cara oleh pelbagai pihak masih berterusan. Pihak kerajaan pula masih berdegil, memekakkan telinga mereka dan menganggap keputusan yang mereka buat adalah keputusan yang betul.

Bagi mereka yang membantah, pelbagai alasan disertakan bersama bantahan mereka. Antaranya, PPSMI 'membunuh' Bahasa Melayu, PPSMI bertentangan dengan undang-undang yang memperuntukkan bahasa pengantar dalam bidang pengajaran dan pembelajaran mestilah Bahasa Melayu, pelaksanaan PPSMI merupakan suatu bentuk pengkhianatan terhadap bangsa. Tidak kurang juga golongan tidak berguna dan tidak bermaruah yang mempolitikkan isu ini dengan berpura-pura prihatin semata-mata ingin meraih undi murahan.

Jawapan daripada pihak kerajaan adalah PPSMI perlu untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan penggunaan Bahasa Inggeris akan memberi kelebihan kepada para pelajar kerana kebanyakan bahan rujukan Sains dan Matematik adalah di dalam Bahasa Inggeris. Pengasas idea PPSMI, Tun Dr. Mahathir juga turut mengutarakan pelbagai hujah bagi membela PPSMI yang mana anda boleh baca di sini.

Bagi saya, kesemua hujah yang dikemukakan baik daripada pihak kerajaan mahupun pihak yang membangkan PPSMI adalah hujah yang waras. Tetapi kita harus mengutamakan matlamat pengajaran dan pembelajaran itu sendiri iaitu untuk memberi kefahaman dan manfaat kepada para pelajar supaya ilmu yang diberikan itu dapat diamalkan dikemudian hari.

Saya mempunyai ramai adik dan sepupu yang masih bersekolah di sekolah rendah dan menengah. Kebanyakan mereka merungut yang mereka tidak faham apa yang diajarkan guru Matematik dan Sains di sekolah. Sepupu saya di MRSM turut mengadu yang dia tidak dapat menguasai matapelajaran Sains dan Matematik kerana tidak faham apa yang diajarkan guru.

Kerajaan yang ingin mempertahankan PPSMI berhujah yang kononnya pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Matematik dan Sains meningkat berdasarkan keputusan UPSR, PMR dan SPM. Namun saya ragu dengan hujah mereka itu kerana sepanjang pengalaman saya di sekolah, guru-guru sekolah saya ada memberitahu yang kerajaan akan menurunkan graf pemarkahan atau penggredan untuk menstabilkan keputusan peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dan SPM.

Sebagai contoh, markah yang perlu dicapai untuk mendapat gred A adalah 80% tetapi sekiranya pencapaian majoriti pelajar tidak memberangsangkan paras markah itu akan diturunkan kepada 70% supaya graf keseluruhannya stabil dan sebaliknya pula jika ramai yang mendapat markah 80% ke atas, paras tersebut akan dinaikkan menjadi 90%.

Jadi saya rasa hujah kerajaan yang tersebut boleh jadi tidak benar kerana mungkin mereka menurunkan graf dengan ketara tetapi mengatakan kononnya pencapaian pelajar meningkat. Ini bukan cakap kosong atau tuduhan yang melulu kerana guru saya yang kebanyakannya penanda kertas peperiksaan SPM yang mengakui hakikat ini.

Justeru pada pandangan saya, jangan pedulikan tentang Bahasa Kebangsaan, jangan pedulikan juga usaha meningkatkan Bahasa Inggeris kerana semua itu boleh dicapai melalui cara lain. Kita perlu mengutamakan nasib para pelajar kerana mereka yang mengalami masalah ini. Yang paling penting adalah mereka faham apa yang diajarkan dan berupaya mengamalkannya.

Kalau setakat alasan untuk memudahkan pelajar apabila mereka melangkah ke universiti kelak, saya rasa tidak perlu kerana sepanjang pengamatan saya, ramai saja rakan-rakan saya yang kemahiran Bahasa Inggeris mereka di tahap sederhana tetapi mereka inilah yang kebanyakannya tergolong dalam senarai dekan jika dibandingkan dengan mereka yang kononnya terlalu gah dalam berbahasa Inggeris.

Kepentingan bahasa itu letaknya pada fungsinya sebagai pengantara dalam proses komunikasi. Selagimana bahasa yang digunakan itu boleh difahami maka bagi saya itu sudah memadai. Tidak ada faedahnya jika kita menggunakan bahasa yang hebat tetapi orang lain tidak memahami sepatah haram pun apa yang kita sedang perkatakan. Ini ternyata berlaku, amat menjengkelkan sekali apabila saya dan kawan-kawan saya membaca beberapa buah buku yang menggunakan bahasa yang terlampau hebat sehinggakan kami tidak faham apa yang terkandung dalam buku tersebut.

Ini bukan sahaja menyusahkan pelajar tetapi sebenarnya memperbodohkan penulis itu sendiri kerana dia membuat buku untuk memberi faedah kepada orang lain tetapi malangnya bukan sahaja tidak difahami malah mengelirukan dan membuat para pelajar tidak ingin membaca buku tersebut. Jadi sia-sialah buku itu ditulis.

Golongan tua sibuk bertengkar macamlah mereka yang belajar Matematik dan Sains. Mereka cuma pandai bercakap sahaja kerana mereka tidak mengalaminya. Sepatutnya pendapat para pelajar diambil berat. Kepada mereka yang tua-tua jangan sibuk dengan pertengkaran yang merosakkan masa depan generasi muda. Ingatlah sikit bukan anda yang belajar Sains dan Matematik dan saya percaya kalau anda yang belajar pun belum tentu anda faham. Lebih baik pergi belajar ilmu agama bak kata orang dulu-dulu yang sebaya dengan anda, 'rumah kata pergi, kubur kata mari'.

3 comments:

Anonymous said...

PPSMI bagus. Perlaksanaan je tak betul. Kalau yang tu diperbetulkan, insyaAllah, semua takkan complain lagi.

zulkhairiroslan said...

salam wahai sahabatku,

aku tertarik dengan tulisan ko.ko menyedarkan aku tentang satu point yang sgt penting iaitu kefahahaman dan pengamalan ilmu.aku sgt kesian tengok adik2 aku yang terkial kial belaja sciences dlm B.I.aku sangat mengharapkan agar kerajaan kita lebih peka dan prihatin dengan nasib golongan muda ni..

p/s:sedih apabila tengok org politik gaduh macam budak2..

Raafiq said...

syed!aku sokong ko?cayalah!!