Pages

09 March 2009

Muhammadun Rasulullah

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىَ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللّهَ شَيْئاً وَسَيَجْزِي اللّهُ الشَّاكِرِينَ

"Dan tidaklah Muhammad itu melainkan seorang rasul sebagaimana yang telah diutuskan rasul-rasul sebelum daripadanya, apakah sekiranya mati atau terbunuh kamu akan berpaling daripada agama Allah? Ketahuilah kalaupun kamu berpaling sedikit pun tidak menjejaskan kerajaan Allah dan sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur"
[Surah Ali Imron: 144]

Hari ini merupakan hari keputeraan manusia teragung Baginda Rasulullah s.a.w. Maka pelbagai bentuk sambutan diadakan baik dengan bacaan ayat-ayat Al-Qur'an sehinggalah kepada perarakan. Saya kurang pasti pula kalau ada 'Konsert Maulud Nabi' dianjurkan. Maklum saja orang zaman sekarang sangat suka mempermainkan agama, beramal ibadah kononnya boleh dilakukan melalui konsert. Entah nabi mana mengajarkan mereka syariat ini saya pun tidak tahu.

Selain daripada konsert (dan acara seumpamanya) saya tidak mempunyai masalah kiranya sesiapa ingin menyambut Maulud Nabi dengan kenduri doa selamat, perarakan dan sebagainya meskipun sesetengah pihak menganggapnya sebagai bid'ah (perkara baru @ pembohongan dalam agama). Kerana bagi saya, selagi suatu bid'ah itu tidak melibatkan hal-ehwal ibadah atau aqidah maka bid'ah itu diharuskan atau sebenarnya tidak dikategorikan sebagai bid'ah kerana saya berpegang kepada pendapat Yusuf Qaradhawi yang menyatakan 'bid'ah yang sesat' yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu hanyalah bid'ah dalam perkara aqidah dan ibadah.

Justeru, buatlah apa sahaja sambutan yang anda inginkan selagimana tidak melampaui batas-batas syara'. Sungguhpun begitu kita harus faham apa yang sebenarnya kita sambut dan apa yang kita arakkan. Bukannya sekadar ingin berseronok dan terpekik terlolong di sana dan sini kononnya atas nama menyambut tanggal kelahiran Rasulullah. Sepatutnya kita sedar yang kita semua bertanggungjawab meneruskan kelangsungan perjuangan baginda menegakkan Islam.

Saya amat yakin sekiranya baginda masih hidup pasti baginda akan merasa maha sedih lagi kecewa melihat keadaan kita umat Islam zaman sekarang yang begitu lemah iman dan cetek pengetahuan agama. Tidak cukup dengan itu umat Islam saling berbunuhan dan perang-memerangi. Generasi muda-mudi Islam pula sibuk dengan hiburan dan alam percintaan yang menyesatkan mereka. Sedang mubaligh-mubaligh Kristian sibuk mengkafirkan orang Islam, orang Islam sibuk mengkafirkan diri mereka sendiri.

Betapa menyedihkan sekali keadaan kita umat Islam yang lemah tidak bermaya menegakkan agama kita. Dahulu usaha ini berjaya dilaksanakan hanya oleh sekumpulan kecil umat Islam yang teguh imannya namun kita disebabkan goyahnya iman, meskipun bilangan kita beratus juta masih berjaya diperdaya, diperbodoh dan dipermainkan oleh penganut agama lain. Benarlah sabda nabi yang menyatakan umat Islam di akhir zaman umpama buih di lautan bilangannya banyak namun tiada kekuatan.

Betapa besar kemurkaan Allah kepada kita. Lalai, sesat, lemah, leka sebut apa sahaja perkataan negatif pasti sesuai untuk dipadankan dengan umat Islam kini. Tulisan saya ini bukan untuk merendahkan martabat Islam, saya juga seorang Islam tidak tergamak rasanya untuk saya menghina Islam tetapi inilah hakikatnya keadaan umat Islam memang begitu menyedihkan sekali.

1 comment:

syazmeen said...

smlm baru tgk konsert sempena maulidurrasul kt tv3.
pd zahir nmpk mcm 'thiqoh' je..
tp dsebalik tau xtau plk cmne