Pages

03 March 2009

Media Senget

Sebulan dua ini, ketika negara-negara lain bertungkus-lumus menangani isu ekonomi dunia yang sedang parah, media di Malaysia sibuk memalingkan masyarakat kepada hal-ehwal politik terutama yang berkaitan dengan isu lompat parti, lembu korban, tukar kerajaan, derhaka akan sultan, rusuhan politik dan lain-lain lagi.

Laporan sebegini tidak begitu menjadi masalah kepada saya, yang masalahnya ialah media di Malaysia bersikap berat sebelah dalam laporan mereka. Pastinya sebelah yang berat itu adalah sebelah kerajaan. Boleh dikatakan semua laporan yang dipaparkan cenderung untuk menyokong, membela dan memuji apa sahaja yang diperbuat oleh pihak kerajaan sebaliknya mengeji, mengutuk dan memperburukkan apa sahaja yang diperbuat oleh pihak yang tidak sebulu dengan kerajaan terutamanya pihak pembangkang.

Tidak cukup dengan itu, laporan disampaikan dengan nada penuh provokasi yang saya tidak begitu pasti apakah niat disebaliknya. Maka tidak hairanlah jika ramai orang yang marah, perasaan benci-membenci antara mereka yang berlainan aliran politik semakin menebal dan amalan memaki-hamun menjadi perkara yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Ini boleh dikatakan sebagai ‘sumbangan murni’ daripada media yang sangat terkesan di hati orang ramai.

Mengapakah media di Malaysia tidak mampu bersikap atas pagar @ neutral dalam setiap laporan mereka? Tanggungjawab media adalah untuk melaporkan apa yang berlaku dengan tepat dan benar. Bukannya mempengaruhi masyarakat untuk saling bermusuhan, benci-membenci, caci-mencaci dan lain-lain amalan buruk yang tidak seharusnya diterapkan kepada mereka.

Kesan daripada perbuatan keji media ini, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat bermusuhan antara satu-sama yang lain. Tidak kira pelajar sekolah, pelajar universiti, golongan profesional mahupun warga tua tidak henti-henti berdebat mempertahankan pegangan politik mereka kesan provokasi yang direka oleh pihak media.

Katakanlah pihak pembangkang atau boleh kita kata Pakatan Rakyat berjaya menerajui kerajaan, saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah situasi media yang sekarang sibuk menghentam pihak pembangkang adakah pada masa itu akan beralih arah untuk memuja-muji Pakatan Rakyat dan memaki-hamun Barisan Nasional?

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh media ialah melaporkan kebenaran tidak kira daripada pihak kerajaan, pembangkang dan lain-lain. Saya tidak meminta media memaki kerajaan dan memuji pembangkang, saya cuma meminta supaya apa yang baik laporkanlah sebagai baik dan apa yang tidak baik laporkanlah dengan rupa asalnya tanpa perlu dimasukkan pandangan peribadi, penukaran dan penyembunyian fakta serta apa sahaja yang merubah kesahihan laporan tersebut.

Kita mengharapkan media bersikap lebih telus, jujur dan benar dalam laporan mereka dan hanya dengan ini media boleh meraih keyakinan dan kepercayaan rakyat yang mana tidak akan dapat mereka raih dengan membodek satu pihak sahaja dan memperburukkan pihak lain.

1 comment:

Raafiq said...

bak kata prof ashgar..
"yes man"..
duit la bai..
pakai duit,smua jalan..
malaysia ni negara korup..
celaka btoi org politik skang ni..