Pages

25 January 2009

Bolehkah Orang Islam Beraya Cina?

Esok adalah hari perayaan bagi kaum Cina. Kebetulan tarikhnya jatuh pada hari Isnin dan Selasa, maka orang ramai tidak kira yang berbangsa Cina atau tidak mengambil peluang untuk pulang ke kampung sehingga menyebabkan lebuhraya menjadi sesak dan bapa saya mengambil masa lebih 6 jam untuk menjemput adik saya yang berada di kem PLKN Masjid Tanah, Melaka semalam.

Pun begitu, saya bukannya ingin membebel soal jalan sesak atau soal balik kampung. Persoalan yang saya ingin timbulkan ialah bolehkah umat Islam merayakan Tahun Baru Cina atau lebih umun lagi bolehkah kita merayakan hari perayaan bangsa atau agama lain?

Jawapannya mudah, apa sahaja perayaan yang tidak berhubung dengan kepercayaan atau akidah agama lain boleh dirayakan umat Islam. Dalam kata lain, umat Islam boleh merayakan perayaan bangsa lain tetapi bukan perayaan agama lain.

Sebagai contoh, perayaan Tahun Baru Cina adalah hari di mana orang Cina meraikan hari pertama dalam kelendar mereka. Hal ini tiada kaitan apapun dengan kepercayaan, akidah atau hal-hal keagamaan. Tahun Baru Cina adalah sekadar suatu perayaan bangsa dan bukan perayaan agama. Jadi umat Islam boleh merayakannya.

Berlainan pula dengan perayaan berunsur keagamaan seperti Krismas yang merayakan hari kelahiran Jesus dalam agama Kristian. Yang ini jelas bersangkut paut dengan kepercayaan dan hal-hal agama. Jadi umat Islam tidak boleh menyambutnya kerana boleh merosakkan akidah.

Akan datang adalah perayaan Hari Valentine yang kononnya dikatakan hari kekasih. Sebagaimana yang saya maklum perayaan tersebut adalah sempena memperingati pengorbanan seorang paderi Kristian. Maka dengan itu adalah haram bagi umat Islam merayakannya.

Nasihat saya kepada umat Islam sekalian, sebelum kita menyibukkan diri untuk merayakan perayaan orang lain, terlebih dahulu kita perlu mengkaji sama ada perayaan tersebut melibatkan keagamaan atau tidak. Jika sekadar perayaan biasa, bolehlah kita merayakannya jika ada unsur agama lain, jauhilah kerana menyambutnya boleh sehingga suatu tahap membatalkan iman kita, nauzubillahi min zalik.

1 comment:

nadyacheryl said...

baru jek suke tgk manusia lain merayakan Valentine's day dgn bunga! :D