Pages

01 December 2008

Sunnah Ibadah dan Sunnah A'dah

Saya berkenan untuk berkongsi sedikit ilmu dengan para pembaca berkaitan pembahagian sunnah.

Terlebih dahulu saya ingin memberi maksud kepada istilah sunnah. Sunnah diertikan sebagai kata-kata, perbuatan, persetujuan, sifat dan khabar yang disandarkan kepada Rasulullah. Sebagai maklumat tambahan, sunnah memainkan peranan yang amat besar dalam perundangan Islam yakni sebagai sumber kedua perundangan Islam selepas Al-Qur'an.

Adapun sunnah itu terbahagi kepada dua, sunnah ibadah dan sunnah 'adah. Sunnah ibadah boleh diterjemahkan secara mudahnya sebagai sunnah yang menjadi petunjuk kepada amalan agama dan terkandung padanya nilai dalam penentuan hukum syara'. Manakala sunnah a'dah atau apa yang orang Melayu sebut sebagai adat adalah semata-mata amalan kebiasan bagi Rasulullah dan tidak mengandungi nilai dalam penentuan hukum syara'.

Bagi memudahkan pemahaman para pembaca sekalian, saya ingin mengemukakan sedikit contoh. Misal bagi sunnah ibadah adalah perbuatan solat, puasa dan sedekah yang diamalkan oleh Rasulullah. Yang tersebut itu adalah sunnah yang memberi petunjuk kepada amalan agama iaitu solat, puasa dan sedekah tidak kira sama ada yang wajib mahupun yang sunat.

Nilai yang dibawa oleh sunnah tersebut adalah sangat besar iaitu disamping membawa syari'at Allah, turut membawa hukum kepada setiap amal yang disebutkan. Sunnah ibadah diambil kira oleh para ulama' dalam penentuan hukum bagi setiap amal perbuatan sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram.

Sebaliknya, misal bagi sunnah 'adat atau adat adalah kebiasaan Rasulullah yang tidak terkandung padanya nilai syara'. Contohnya, perbuatan Rasulullah bertutur dalam bahasa Arab dan memakai jubah. Yang tersebut adalah semata-mata kebiasaan orang Arab. Dengan sebab Rasulullah itu diutuskan dikalangan orang Arab maka dengan itu Rasulullah bertutur dalam bahasa Arab dan memakai pakaian bangsa Arab iaitu jubah.

Haruslah difahami bahawa sunnah yang bernilai di sisi syara' itu adalah sunnah ibadah yang mana dengan mengamalkan sunnah tersebut dengan menepati tuntutan syara', si pelaku bakal menerima ganjaran daripada Allah, insyaallah. Manakal sunnah a'dah itu adalah semata-mata suatu kebiasaan.

Malangnya bagi yang tidak faham dengan ilmu ini, mereka memberi keutamaan dan begitu keras sekali dalam mengamalkan sunnah 'adah. Saya bukannya mahu menegah para pembaca mengamalkan sunnah 'adah cuma ingin memberi nasihat supaya tidak perlulah kita sebagai umat Islam bersikap sangat keras dalam mengamalkannya.

No comments: