Pages

28 December 2008

Blog Si Penghina Islam

Saya sempat menjengah sebuah blog yang mana url-nya diberi oleh rakan saya. Blog tersebut berisi caci-maki dan penghinaan terhadap agama Islam secara umumnya dan serangan peribadi terhadap Nabi Muhammad secara khususnya.

Saya tidak ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian url blog tersebut kerana saya tidak mahu blog yang sedemikian mendapat sambutan ramai yang mana saya kira sebagai suatu yang ingin dicapai oleh penulis blog tersebut.

Atas nama keterbukaan minda dan kebebasan bersuara, berpendapat, menulis dan lain-lain maka wujudlah blog-blog liar sedemikian rupa.

Entah apa niat sebenar penulis blog tersebut memburuk-burukkan keperibadian Nabi Muhammad dengan perkara-perkara rekaan. Barangkali dia terlalu ingin akan perhatian atau sengaja suka mencari kemarahan orang.

Saya juga sempat membaca komen untuk beberapa post di dalam blog tersebut yang mana juga berisi caci-maki tetapi kali ini untuk si penulis blog. Saya berpendapat yang ini bukanlah suatu tindakan yang bernas.

Saya mengalu-alukan tindakan daripada pihak berkuasa tetapi bagi orang kebanyakan bagi saya perkara sebegini tidak perlu di layan. Kita sedia maklum mereka yang berbuat sebegini memiliki kedangkalan otak yang sangat serius. Lagi kita layan, mereka akan semakin menjadi-jadi. Maka adalah lebih baik kita tidak mengendahkan perilaku mereka itu bukannya kerana kita bersetuju dengan apa yang mereka suarakan tetapi kerana kita harus berfikir secara rasional. Selama manakah anjing akan menyalak bukit?

Lama-kelamaan sesudah anjing itu penat atau hilang suara maka dia dengan sendiri akan diam. Tetapi jika kita terus memberi layanan, ini akan menjadi mangkin yang menguja mereka untuk terus-menerus menghina Islam.

Tambahan pula, melayan orang yang bodoh bukankah turut menampakkan kita sebagai bodoh? Saya pasti anda semua tidak teringin untuk kelihatan bodoh. Si penulis menghina kita orang Islam, jika kita kembali menghina si penulis apakah bezanya kita dengan dia?

Diam kita bukannya kerana kita tidak mahu membela Islam. Cuma saya tertarik dengan tindakan datuk kepada Rasulullah, Abdul Mutalib ketika tentera bergajah Abrahah menyerang Ka'bah.

Kisahnya begini, ketika Tentera Abrahah menyerang Ka'bah, mereka merampas harta-benda penduduk Mekah. Maka Abdul Mutalib pun bersemuka dengan mereka untuk menuntut kembali harta beliau. Ketua angkatan tentera berkata kepada Abdul Mutalib, "Apakah kamu tidak mengendahkan keselamatan Ka'bah yang akan kami robohkan dan lebih mementingkan harta kamu?"

Abdul Mutalib menjawab, "Aku ingin memelihara hartaku sedangkan Ka'bah itu biarlah pemiliknya yang memeliharanya..."

2 comments:

Anonymous said...

Mat saleh punye blog ke melayu atau malaysia?

syfadh said...

wallahua'lam tapi gmbr yang tertera adalh seorang perempuan melayu