Pages

14 November 2008

Perihal Video Sajak Kematian


Saya merujuk kepada perihal video Sajak Kematian yang diberhentikan penayangannya atas arahan Menteri Pelajaran dengan alasan tayangan video tersebut menyandungi unsur yang menakutkan dan tidak sesuai untuk ditonton oleh pelajar tahun satu dan dua.

Beginilah bunyinya kata-kata beliau, "Saya sungguh tidak bersetuju kerana kita hendak mendidik mesti secara berhemah dan pendekatan yang menakut-nakutkan lebih-lebih lagi terhadap anak-anak yang usianya cukup muda, saya rasa ia tidak akan membawa manfaat".

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh media, video Sajak Kematian tersebut memaparkan gambaran seksaan kubur yang dilalui oleh manusia selepas dikebumikan menurut kepercayaan dalam agama Islam.

Bukan sahaja mendapat larangan daripada menteri malah ada segelintir ibu bapa dan pelajar yang menentang penayangan video tersebut dengan pelbagai hujah.

Pada saya, penolakan terhadap video tersebut adalah tidak wajar jika alasannya adalah kerana video tersebut menyandungi paparan yang menakutkan. Sebabnya kita harus peka bahawa amalan memberi pengajaran melalui jalan menakut-nakutkan itu adalah amalan yang digunapakai di dalam Al-Qur'an dan Hadith itu sendiri.

Saya yakin pendekatan yang sedemikian adalah sesuai dengan fitrah manusia justeru itu Al-Qur'an dan Hadith menggambarkan pelbagai siksaan dan balasan buruk terhadap amalan kejahatan dan kemungkaran. Tujuannya sudah tentu untuk menakut-nakutkan manusia supaya mereka menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang memungkinkan mereka menerima balasan yang buruk lagi menyeksakan.

Berkenaan hujah kononnya video tersebut tidak sesuai ditayangkan kepada murid tahun satu dan dua berikutan tahap pemikiran mereka yang masih muda, hemat saya menyatakan alasan yang sedemikian adalah tertolak dan tidak dapat diterima.

Bukankah orang-orang Melayu sudah terbiasa mendidik anak mereka dengan cara menakut-nakutkan mereka. Saya beri contoh di mana orang Melayu mendidik anak mereka yang masih supaya jangan keluar atau bermain di luar rumah pada waktu maghrib kerana itu adalah waktu mambang-mambang berkeliaran. Bukankah ini juga menakutkan?

Adakah mendidik anak-anak melalui ketakutan kepada syaitan adalah lebih sesuai dengan tahap pemikiran mereka yang masih kecil dan lebih wajar berbanding mendidik mereka dengan ketakutan kepada siksaan Allah?

Saya faham terdapat ibubapa yang merasa bertanggungjawab melindungi anak-anak mereka tetapi saya rasa sudah sampai masanya ibubapa bersikap tidak terlalu melindungi anak-anak mereka kerana sikap 'terlalu melindungi' ini akan menyebabkan perkembangan minda terbantut. Maka dengan sebab itu saya rasa minda generasi cilik kini lambat matang dan terlalu bergantung kepada ibu bapa.

Lihat saja ilmuan masa lampau bagaimana mereka menghabiskan usia muda mereka dengan pengembaraan untuk menuntut ilmu sekaligus terdedah dengan pelbagai gelagat manusia dan kerenah makhluk tuhan yang lain telah berjaya menjadikan mereka manusia ulung yang dikenang sepanjang zaman.

Tidakkah ibubapa masa kini menginginkan yang sedemikian terjadi kepada anak-anak mereka? Saya yakin semua ibubapa yang beriman mahu anak mereka menjadi manusia yang terbaik.

2 comments:

Anonymous said...

Mumayyiz, ghair mumayyiz? Apa kata tunggu sikit lagi baru tunjuk benda tu? Mungkin apabila budak sudah berumur 9-10 thn?

Raafiq said...

do agree with u apek..