Pages

21 October 2008

Sukarela atau Paksarela?

Sibuk dicanang ke sana ke mari bilamana seseorang ketua telah membuat keputusan maka keputusan itulah yang dipersetujui oleh semua org bawahan.

Sesuai dengan tajuk di atas, persoalan yang saya ingin timbulkan adalah apakah persetujuan menyeluruh yang diheboh-hebohkan oleh pemimpin itu merupakan persetujuan yang diberi secara sukarela ataupun paksarela?

Sukarela adalah kerelaan yang diberi dengan senang hati manakala paksarela (sebagai lawan kepada perkataan 'sukarela' meskipun perkataan ini tidak wujud di dalam Kamus Dewan) adakah kerelaan yang diberi kerana terpaksa atau terdesak.

Bukan apa, saya merasa meluat mendengar ucapan beberapa peminpin yang seperti berikut, "keputusan ini telah dipersetujui secara akar umbi, jadi tidak perlu dibangkitkan lagi".

Persetujuan yang sebenar-benarnya terhadap suatu 'keputusan' sepatutnya dibuat sebelum 'keputusan' itu dimuktamadkan. Ini kerana setelah 'keputusan' itu dimuktamadkan sama ada setuju atau tidak, tidak akan memberi apa-apa kesan kerana cadangan itu telah pun muktamad dan menemui kata putus.

Inilah masalahnya dalm situasi semasa, rata-rata pemimpin memberi kata putus terlebih dahulu barulah mereka bertanya kepada orang bawahan tetapi mereka canang kepada alam bahawa keputusan itu adalah berdasarkan suara peringkat akar umbi. Jadi hendak atau tidak akar umbi terpaksa setuju dengan keputusan itu kerana tindakan menyuarakan bantahan adalah sia-sia kerana keputusan itu telahpun muktamad. Ini ternyata bukanlah suatu bentuk persetujuan bahkan helah untuk memaksa orang bersetuju dengan apa yang dibuat oleh pemimpin.

Cukup mudah untuk kita mengenalpasti sama ada suatu keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan sukarela ataupun paksarela. Bila berlakunya situasi bak kata orang-orang tua, rumah siap pahat berbunyi, ternyata keputusan yang dihebahkan kepada umum sebagai keputusan akar-umbi itu adalah tidak benar. Apatah lagi sekiranya 'pahat yang berbunyi' itu tergolong dalam kalangan orang-orang kanan pemimpin itu sendiri.

Bagi mereka yang kurang mahir dalam penggunaan peribahasa, maksud 'rumah siap pahat berbunyi' boleh dikatakan sebagai situasi dimana sesuatu urusan atau perihal dianggap telah selesai tetapi kemudian kedengaran suara-suara sumbang yang tidak enak didengar berkaitan perihal tersebut.

Jika benar sebagaimana yang diuar-uarkan, mengapakah harus berlaku situasi seperti rumah siap pahat berbunyi ini? Sama ada 'pahat yang berbunyi' itu telah memungkiri persetujuan yang diberi olehnya di peringkat perbincangan atau pemimpin itu telah melakukan penipuan yang maha besar.

No comments: