Pages

17 October 2008

Menghilangkan Kewarasan Akal

Pada mulanya saya fikir bahan-bahan diperam dan yang berusur alkohol serta yang seumpamanya sahaja yang mampu memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal. Rupa-rupanya ada lagi perkara yang mampu menjadikan manusia tidak waras.

Ternyata mereka yang bersikap fanatik/ta'sub khususnya terhadap ahli-ahli politik dan para artis berjaya menjadikan manusia 'mabuk' dan tidak waras. Saya menulis yang sedemikian kerana saya merasa jijik melihat tulisan penyokong-penyokong fanatik ahli politik di internet tidak kiralah sama ada pihak kerajaan ataupun pembangkang.

Sungguhpun telah nyata bak kata orang Melayu sudah terang lagi bersuluh mereka melakukan kesalahan, kesilapan dan kedurjanaan tetapi masih ada lagi yang mahu membela tindakan mereka tanpa berbelah bagi.

Inilah yang saya maksudkan dengan mabuk dan tidak waras. Sifat fanatik mereka menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah malah ada juga yang sengaja mengenepikan kebenaran semata-mata mencari helah bagi menutup kesalahan individu yang disokongnya.

Pelbagai alasan digunakan bagi memperlihatkan bahawasanya tindakan (yang jelas kesalahannya) itu benar di mata masyarakat. Bermula dengan dolak-dalih sehinggalah ada yang sanggup memutar-belit ayat Al-Qur'an dan Hadith, mencemarkan kesucian kedua khazanah ini bagi membenarkan segala apa yang dilakukan pihak yang disokongnya itu.

Tidak cukup dengan itu, mereka yang fanatik ini akan mengeluarkan hujah-hujah bagi memburukkan pihak yang menentang individu yang mereka sokong. Tidak kiralah sama ada tindakan penentang tersebut benar atau tidak, penyokong fanatik akan sentiasa melihat tindakan mereka sebagai tidak benar dengan mereka-reka fitnah dan sebagainya. Kebaikan yang mereka lakukan 'tidak laku' lagi semata-mata kerana mereka adalah penentang kepada individu yang mereka sokong.

Semua ini berlaku kerana 'cinta' mereka terhadap pihak yang mereka sokong. Cinta yang tidak berasaskan kewarasan akal.

Mereka yang disokong pula sekadar mendiamkan diri sungguhpun mereka tahu mereka bersalah. Puncanya, mereka berasa amat bimbang dan maha takut seandaikan mereka mengaku akan kesilapan yang mereka lakukan, sokongan terhadap mereka akan berkurangan. Akibatnya, mereka tidak akan dapat 'merasa' kerusi empuk jawatan besar yang mereka impikan atau hilang populariti dan tidak lagi digilai peminat.

Cukup dahsyat sekali penangan sifat fanatik ini yang telah berjaya tanpa gagal memesongkan pemikiran manusia, menidakkan kebenaran dan memecah-belahkan perpaduan serta memupuk kebencian di kalangan masyarakat.

Akhirnya masyarakat yang berbalah antara satu-sama yang lain ini akan memusnahkan negara mereka sendiri tanpa perlu 'bantuan' daripana musuh manakala musuh-musuh luar akan melihat sambil bertepuk dan bersorak melihat kebodohan masyarakat bersifat fanatik ini. Barangkali inilah kesudahan yang diimpikan oleh meraka yang bersifat 'fanatik dungu' ini, kemusnahan bangsa, negara dan agama mereka.

1 comment:

Mao said...

btol owh~~~

aku pon da nek nyampah---
cam bdak kecik gado--
aku pon da x tahan da---
sedey oh aku tgk malaysia skang---

-MaO-
(T-T)