Pages

01 October 2008

Jangan Merosakkan Diri Dalam Beragama

Dalam arena agama, terdapat pelbagai nasib manusia, ada yang berjaya mengharunginya sehingga menjadi tokoh terbilang yang disanjung ramai dan ada juga yang menjadi 'gila isim' akibat tidak meniti kaedah yang benar.

Ketahuilah sesungguhnya lapangan ini sangat mencabar dan ramai yang telah kecundang dan akhirnya menjadi ekstrimis, liberalis, sesat,malah ramai juga yang sewel otaknya kesan daripada kegagalan mereka untuk terus kekal di landasan.

Terdapat banyak punca yang menyebabkan situasi di atas. Antaranya yang utama ialah kegagalan memahami hakikat bahawasanya ketegasan Islam itu berbatas dan begitu jugalah dengan keterbukaan Islam itu sendiri.

Ragam manusia ada yang terlalu sempit ada pula yang terlalu terbuka dalam mengeluarkan pendapat. Namun hakikatnya kedua-dua ragam ini membawa ke arah kehancuran daya pemikiran. Sempit yang keterlaluan menyebabkan perselisihan pendapat yang serius manakala keterbukaan yang melampau menyebabkan kebenaran ditinggalkan bagi memenuhi kehendak peribadi.

Lantas jalan penyelesaian kepada krisis ini adalah bersikap sederhana, tidak terlalu sempit dan tidak pula terlalu terbuka, beginilah yang dianjurkan Islam. Paling malang apabila antara sebab utama perpecahan umat Islam masa kini adalah kerana perbezaan mazhab. Siapakah yang perlu dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan dengan permasalahan ini?

Umat Islam tersilap besar apabila menjadikan perbezaan mazhab sebagai pemecah ikatan persaudaraan sesama Muslim kesan daripada kegagalan mereka memahami punca perbezaan pendapat antara imam-imam mazhab. Wahlal hakikatnya mereka semua (imam-imam mazhab) berbeza pendapat dalam keadaan yang harmoni tanpa menidakkan kebenaran satu-sama yang lain bahkan memuji-muji kecemerlangan antara satu-sama yang lain dalam pencapaian mereka.

Ketahuilah racun yang telah lama meresap ini membunuh kekuatan umat Islam. Inilah kesan daripana kesempitan melampau dalam gaya pemikiran. Ada yang sampai ketahap mengkafirkan orang yang bermazhab lain daripada apa yang dipeganginya. Hal ini amat mendukacitakan lagi amat membinasakan.

Yang baru ingin berjinak dengan lapangan ini pula begitu mudah terpengaruh dengan ideologi liberal yang menggubah agama untuk menepati citarasa dan membenarkan perbuatan mereka. Mentafsir ayat al-Quran dengan sewenang-wenangnya. Mencari-cari ayat al-Quran dan hadith untuk membenarkan perbuatan dan pendapat mereka. Merekalah perosak agama dan pencipta agama baru dengan menjadikan agama berlandaskan akal.

Perlu ditekankan bahawasanya Islam itu bukan milik peribadi untuk disempitkan atau dijadikan menepati citarasa individu. Islam adalah sebagaimana yang menepati kehendak Allah. Bagaimanakah caranya untuk kita tahu apakah kehendak Allah? Jawapannya melalui al-Quran dan hadith yang ditafsir oleh ahlinya (ahli Quran dan Hadith). Bukan mereka yang berkepentingan peribadi lagi busuk hatinya.

Waspadalah dari kesesatan kerana ramai yang telah sesat. Bersederhanalah dalam beragama kerana itu menguntungkan. Jangan terlalu teruja dengan ideologi atau pendapat-pendapat yang baru atau aneh. Kita mencari kebenaran kerana hanya kebenaran yang menjadi penyelamat di dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam wa 'ilmuhu atam.

2 comments:

Anonymous said...

Saya dah banyak kali dengar istilah 'gila isim' tapi apakah maksudnya yang sebenar? Diharap Sang Pendeta boleh beri penjelasan yang jelas. Terima kasih.

syfadh said...

Terima kasih kepada yang bertanya. Gila isim adalah istilah yang digunakan kepada mereka yang hilang kewarasan akalnya disebabkan keghairahan mereka menuntut ilmu(biasanya ilmu agama) tanpa mengikut cara yang betul.

Antara puncanya ialah belajar tanpa berguru dengan 'mereka yang ahli', mempraktikkan amalan-amalan yang aneh, zikir-zikir yang pelik kononnya mencari/menghadirkan tuhan.

Akibatnya mereka yang pada awalnya bijak pandai akhirnya hilang kewarasan akal, bercakap seorang diri dan berkelakuan aneh. Lantas kita dapat lihat mereka berjubah dan berserban, pandai mengaji dan berzikir tapi kelihatan seperti orang gila, tidak terurus, merayau-rayau tanpa tujuan, bercakap dan berkhutbah seorang diri dan berperangai pelik. Hakikatnya mereka sebenarnya tidak waras.

Sekian.