Pages

07 October 2008

Enggang Dan Pipit

Enggang sama enggang, pipit sama pipit. Inilah fahaman dan pegangan orang-orang Melayu untuk sekian lama. Bagi yang kurang mahir berbahasa Melayu, maksud peribahasa ini adalah orang yang berpangkat, berdarjat, berketurunan dan berada hanya bergaul dengan mereka yang sama taraf dengan mereka sahaja manakala yang tidak memiliki kedudukan sebagaimana yang disebut di atas tidak layak bergaul dengan mereka dan hanya boleh berkumpulan bersama orang-orang kebanyakan sahaja.

Fahaman yang sedemikian telah meresap ke sanubari umat Melayu sehinggakan orang yang berkedudukan menjadi angkuh dan bongkak manakala yang tidak berkedudukan merasa begitu rendah diri sekali. Tidak cukup dengan itu, mereka yang 'berstatus tinggi' ini secara automatiknya dipandang mulia dan dihormati oleh masyarakat manakala sebaliknya kelompok yang satu lagi dicaci, dihina dan dipandang rendah.

Bukan sekadar tontonan di filem atau drama Melayu sahaja, hakikatnya pertimbangan keterlaluan terhadap kedudukan, pangkat dan harta menimbulkan kesulitan maha besar dalam isu perkahwinan. Tatkala salah seorang mempelai datang dari golongan berkedudukan manakala mempelai yang satu lagi berasal daripada orang kebanyakan maka muncullah tentangan dari bakal mertua malah cercaan daripada masyarakat.

Bukan itu sahaja, suara orang kebanyakan kedengaran begitu 'perlahan' dan terlalu sukar untuk didengari oleh pihak atasan. Jika sampai sekali pun, amat sukar untuk kita lihat tindakan susulan atau kesan daripada suara tersebut. Tetapi apabila orang berkedudukan yang menyuarakannya, sepantas kilat tindakan diambil. Prosedur bagi urusan rasmi pula hanya disediakan untuk orang biasa manakala 'orang-orang besar' tidak perlu mengikut prosedur.

Bagi mereka yang berkenalan rapat dengan orang yang berkedudukan tinggi, mereka seakan mendapat kelebihan dalam urusan seharian. Sebagai contoh, bagi mereka yang mempunyai kenalan di jabatan pelajaran, urusan permohonan ke sekolah-sekolah berasrama penuh atau sekolah yang berstatus tinggi berstatus tinggi (yang mana digelar sekolah kluster) begitu mudah mendapat kelulusan sungguhpun keputusan peperiksaan tidak seberapa dan begitu juga halnya dengan permohonan ke universiti, permohonan bantuan dan sebagainya.

Kehadiran 'orang-orang besar' di majlis-majlis terpaksa dinanti oleh orang kebanyakan meskipun mereka datang lewat daripada masa yang ditetapkan. Tempat duduk khas disediakan bagi mereka manakala orang biasa terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkan tempat duduk. Hidangan istimewa dijamukan bagi orang-orang besar manakala orang kebanyakan dibiarkan menjamah makanan biasa.

Saya hairan, dari manakah datangnya semua budaya ini? Siapakah yang mengajarkannya? Mengapakah masyarakat begitu mengagungkan budaya ini dan mempertahankan amalannya? Siapakah yang memberikan kemuliaan kepada orang berkedudukan dan menganugerahkan kehinaan kepada orang yang tidak berkedudukan?

Saya ingin mengajak anda sekalian untuk menghayati bait-bait lagu ini yang mana saya ambil daripada lagu Pandang-pandang, Jeling-jeling nyanyian SM Salim dan Siti Nurhaliza:

Kereta kuda pedati lembu,
Singgah mari ditepi kuala,
Tuan sutera saya belacu,
Manakan boleh berganding sama,

Burung Jelatik sarang Kedidi,
Sarang Tempua sarang berjuntai,
Sungguhpun cantik sutera diuji,
Belacu juga tahan dipakai...

No comments: