Pages

30 September 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum,

Kelihatan tadi Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengishtiharkan di televisyen bahawasanya Hari Raya Aidilfitri telah ditetapkan pada hari Rabu, 1 Oktober 2008. Ini juga sekaligus membawa maksud bahawa hari ini adalah hari terakhir berpuasa. Ramadhan yang dicintai Rasulullah dan para orang soleh bakal meninggalkan kita semua. Pastinya mereka sekalian sedang bersedih meratapi pemergian Ramadhan, bulan penuh keberkatan dan rahmat.

Semoga Ramadhan tahun ini tidak berlalu begitu sahaja bagi diri saya dan anda semua. Moga-moga Allah menerima amalan kita yang tidak seberapa ini. Semoga sahaja Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan di tahun lepas.

Yang berlalu pastinya berganti, ganti Ramadhan adalah Syawal, bulan penuh kegembiraan di mana umat Islam merayakan kejayaan melawan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan.

Bagi yang gagal menunaikan tanggungjawab Ramadhan tanpa sebab yang dibenarkan syarak, tidak perlulah sibuk-sibuk ingin merayakan Syawal kerana anda tidak layak merayakannya, tiada apa-apa kejayaan untuk anda rayakan. Bahkan anda perlu bersedih mengenangkan kegagalan anda yang sungguh mengaibkan itu.

Sungguh tidak munasabah, sedangkan budak kecil pun mampu berpuasa penuh di Bulan Ramadhan mengapa ada dikalangan orang dewasa tidak mahu berpuasa? Yang lebih pelik, ada yang berpuasa tetapi tidak mengerjakan solat. Tidakkah mereka tahu bahawa solat adalah ibadah paling utama yang menentukan status ibadah lain. Jika elok ibadah solat maka eloklah ibadah lain dan begitulah juga sebaliknya.

Sungguh benar kata-kata (hadith kalau tidak silap saya), "Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang beriman".

Jadi dengan ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada para pembaca sekalian. Beserta dengan ucapan ini saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan daripada perbuatan, tutur-kata, tulisan dan diam saya yang mungkin telah menyakiti perasaan anda sekalian. Diharapkan anda dapat menerima permohonan maaf saya ini supaya saya tidak soal oleh Allah kelak berkaitan dosa-dosa saya terhadap anda semua.

Silalah berjimat-cermat ketika membeli keperluan berhari-raya. Kepada yang pulang ke kampung silalah berhati-hati di jalan raya. Sekian.

No comments: