Pages

03 September 2008

Makna Seorang Perempuan

Makna Seorang Perempuan

Perempuan itu,
Dicintai kerana malunya,
Disayangi kerana maruahnya,
Dikahwini kerana agamanya,

Wanita itu,
Dihargai kerana budinya,
Dihormati kerana santunnya,
Diingati kerana kasihnya,

Tapi sebaliknya seorang betina,
Dikeji kerana rakusnya,
Dibenci kerana mengada-ada,
Dilaknati kerana gedikannya,

Lalu bagaimana aku bisa mencinta?
Menjaga dan memelihara?
Apabila sekalian yang kujumpa,
Ternyata bukan perempuan atau wanita,
Tetapi betina semata-mata...
-syfadh-

Puisi di atas pernah saya paparkan di profile Friendster saya yang mana telah menimbulkan reaksi kurang senang terutama daripada golongan Hawa. Pun begitu saya tidak merasakan sedikit pun terjejas dengan komen ataupun rasa tidak puas hati yang mereka luahkan. Bagi saya barangkali mereka tidak memahami apa sebenarnya yang saya ingin sampaikan di dalam puisi di atas.

Adalah cukup buruk tabiat memandang serong terhadap penulis sedangkan diri sendiri yang tidak berdaya memahami mesej yang mahu di sampaikan oleh penulis tersebut dan inilah yang telah berlaku. Rata-rata wanita yang membaca puisi ini merasakan bahawa saya menghina mereka. Cukup singkat sekali tahap pemikiran mereka yang sedemikian atau mungkin mereka tidak berupaya memahami Bahasa Melayu.

Apa yang cuba saya sampaikan di dalam puisi di atas adalah perbezaan kemuliaan perempuan sejati dan kehinaan perempuan yang tidak bermoral yang saya gelar sebagai betina. Sumber inspirasi saya ialah dialog Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filemnya berjudul Musang Berjanggut:

“Perempuan memelihara maruah, tetapi betina menjual maruah”

Nah begitu sebenarnya tema yang saya ingin sampaikan. Tapi entah kenapa kaum hawa yang membaca puisi ini begitu mudah terngadah. Barangkali terkena pada batang hidung mereka agaknya seperti kata pepatah:
“Siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya”.

Lihatlah bagaimana saya memulakan puisi dengan memuja-muji ketinggian martabat wanita yang berperibadi mulia. Disayangi, dicintai dan dinikahi. Dihargai, diingati dan dihormati. Sedikit pun tiada maksud dihati saya untk menghina kaum wanita dan persoalannya untuk apa? Emak saya juga wanita. Kakak, nenek, pengasuh dan saudara mara saya ramai yang wanita. Adakah dengan tidak semena-mena saya ingin mengutuk mereka? Pastinya itu tindakan yang bodoh lagi tidak berakal.

Kemudian lihatlah bagaimana penghinaan kepada kaum Hawa yang tidak berakhlak. Rasanya tidak salah penggunaan perkataan betina tersebut. Memang benar perkataan itu sangat kasar tapi sengaja saya gunakan bagi memberi impak besar terhadap kepada pembaca tentang betapa hinanya manusia yang tidak memelihata maruahnya.

Al-Qur'an sendiri membandingkan orang yang tidak mahu memahami, mendengar dan melihat kekuasaan Allah sebagai lebih sesat daripada binatang. Jadi jika perumpamaan yang saya gunakan di atas adalah biadap jadi bagaimana harus ayat Al-Qur'an tersebut dikategorikan?

Lalu dengan sebab itu wahai sekalian pembaca terutama kaum Hawa, jika anda tidak mahu dihinakan maka berakhlaklah dengan akhlak Islam. Seterusnya, jika anda tidak berkelakuan buruk sebagaimana yang disebutkan dalam puisi di atas anda sepatutnya tidak merasa marah atau tersinggung malah menyokong apa yang saya katakan.

Adakah tidak wajar pujian untuk orang-orang yang mulia dan kutukan kepada orang-orang yang hina? Hendaklah kamu berlaku adil dengan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.

Atau mungkin di sisi anda pujian itu selayaknya bagi orang yang hina dan kutukan kepada orang yang mulia? Dukacita sekali jika ini berlaku.

No comments: