Pages

25 September 2008

Bekasnya Tetap Kekal

Cerita ini berlaku di suatu kampung di mana tinggal seorang ayah bersama anak lelakinya. Si ayah merupakan serang ahli ibadah yang begitu taat kepada Allah. Tetapi malang, usaha mendidik anak lelakinya yang seorang itu supaya turut menjadi seorang yang taat kepada Allah telah gagal meskipun pelbagai cara digunakan oleh si ayah.

Perwatakan si anak begitu berlawanan sekali dengan si ayah. Katakan saja apa bentuk maksiat semuanya telah dilakukan oleh si anak tanpa menghiraukan nasihat yang tidak putus-putus daripada bapanya yang taat.

Suatu hari si ayah mendapat ilham sebagai jalan terakhir untuk mendidik anaknya yang derhaka itu. Si ayah berkata, "Wahai anakku, mulai hari ini ayah akan pacakkan sebatang kayu di halaman rumah kita. Untuk setiap kemungkaran yang kau lakukan ayah akan pacakkan sebatang paku di batang kayu itu supaya kau boleh lihat sendiri betapa banyaknya dosa yang telah kau buat. Sebaliknya ayah akan cabut sebatang paku untuk setiap kebaikan yang kau lakukan".

Hari demi hari berlalu, masih tiada apa-apa perubahan. Si anak tetap dengan kemungkarannya. Si ayah tidak henti-henti memacak paku di batang kayu yang terdapat di halaman rumah sebanyak kejahatan yang dibuat oleh anaknya hinggalah hampir tiada ruang lagi di batang kayu itu.

Suatu pagi, si anak terlihat batang kayu yang dipenuhi paku itu, lalu datanglah keinsafan di hati si anak untuk bertaubat. Mulalah si anak mengerjakan ibadah untuk menzahirkan niatnya untuk kembali kejalan yang benar. Segala perkara mungkar tidak lagi diamalkan dan diganti dengan kebaikan.

Lama-kelamaan habislah semua paku yang sebelum ini terdapat pada batang paku itu dicabut oleh si ayah hingga tinggal tiada satu pun. suatu pagi si anak turun kehalaman rumah lalu dia terlihat batang kayu tersebut lalu menangis teresak-esak dan menggigil ketakutan.

Si ayah yang melihat gelagat anaknya itu merasa begitu pelik sekali lalu bertanya, "Wahai anakku apakah lagi yang engkau tangiskan? Bukankah semua amalan kejahatanmu dulu telah kau tebus dengan amal ibadah dan taubatmu kepada tuhan?"

Si anak dengan nada kesal menjawab, "Ya benar wahai ayahku semuanya telah kutebus dengan taubat dan amal ibadahku tapi ayah lihatlah sendiri batang kayu itu sungguhpun ayah telah cabutkan semua paku namun bekas lubang kesan paku itu masih kekal disitu dan tak akan kembali elok dan licin seperti sediakala. Begitulah juga hatiku ini yang dulu bergelumang dengan dosa tidak akan kembali suci dan bersih sebagaimana sebelum aku melakukan dosa dahulu walau dengan cara apa sekalipun aku menebusnya".

2 comments:

Anonymous said...

Ye ke.. Bukankah kalau sorang tu dah taubat, dan taubatnya diterima, seolah-olah dia tak pernah berdosa?

syfadh said...

Salam, terima kasih kepada yang bertanya dan haraf maaf kerana saya mengambil masa untuk menjawab persoalan ini.

Ya anda benar. Seseorang yang bertaubat dan taubatnya diterima maka dia bersih daripada dosa sebagaimana baru dilahirkan daripada rahim ibunya. Hal ini jelas disebutkan di dalam hadith nabi.

Namun apa yang mungkin dimaksudkan dengan perkataan 'bekas yang kekal' di dalam kisah ini adalah kesan sampingan daripada perbuatan dosa itu sendiri selain daripada kesan dosa.

Sebagai contoh, kesan psikologi, yang mana menyebabkan mereka yang melakukan maksiat (walaupun sudah bertaubat) dihantui sejarah silam yang menyebabkan dia tidak dapat hidup dengan tenang dan tertanya-tanya samaada taubatnya diterima tuhan atau tidak. Maklum saja kita tidak pernah akan tahu adakah taubat kita diterima oleh Allah atau tidak. Hidup mereka tidak akan aman dan tenang sebagaimana sebelum mereka malakukan dosa tersebut.

Seterusnya kesan ketagihan terhadap perlakuan dosa. Mereka yang pernah terjebak ke kancah kemaksiatan biasanya lebih mudah tertarik untuk melakukan dosa itu semula. Lihat saja contohnya penagihan dadah. Sungguhpun sudah beberapa kali dirawat dipusat serenti dan meskipun mereka sudah berazam untuk meninggalkan kegiatan tersebut, peratusan yang berjaya hanyalah sedikit dan selebihnya terus kembali mengulangi kesilapan tersebut.

Begitulah mungkinnya maksud kepada frasa 'bekasnya tetap kekal'.

Sekian.