Pages

18 August 2008

Aduhai Anak Melayu!


Warisan

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang,

Nenek-moyang kaya-raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta hilang di arus zaman,

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,
Peribumi merintih sendiri,

Masa depan sungguh kelam,

Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutuplah hati terkunci mati,
Maruah peribadi dah hilang,

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri,

Kita sudah tiada masa,
Majulah dengan Maha Perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Melayu kan Gagah Di Nusantara...

Lagu ini boleh dikatakan agak popular dikalangan orang Melayu. Sering saja didendangkan di upacara-upacara yang mempunyai unsur-unsur patriotik kemelayuan mahupun di perarakan-perarakan berunsur protes terhadap sebarang perkara yang berpotensi mengganggu-gugat kesejahteraan hak-hak Melayu.

Alangkah walangnya, di kala lagu ini didendangkan dengan begitu bersemangat, para penyanyi tetap gagal memahami mesej yang ingin disampaikan melalui bait-bait liriknya. Mungkin kerana para penyanyinya hanya bersifat ‘tangkap muat’, menyertai upacara-upacara tersebut hanya untuk suka-suka tanpa ilmu mahupun matlamat. Maklum saja generasi kini memang sangat suka kepada perkara-perkara kontroversi walapun mereka sebenarnya jahil tentangnya. Berkumpul beramai-ramai kononnya atas dasar mempertahankan maruah bangsa tapi walhal maruah diri sendiri pun tak mampu mereka pertahankan. Kasihan anak Melayu.

Bukannya saya ingin memburuk-burukkan anak Melayu. Saya sendiri adalah anak Melayu. Adalah tindakan yang amat bodoh memburuk-burukkan bangsa sendiri tanpa sebab kerana samalah seperti menghina diri sendiri. Namun hakikatnya tidak mampu disangkal lagi oleh sesiapapun. Saya sendiri melihat bagaimana anak Melayu khususnya di pusat pengajian tinggi mengutamakan hiburan, lepak dan kehidupan sosial yang melampau. Pergaulan antara elaki dan perempuan yang tiada batasan, pelajaran diambil remeh manakala duit biasiswa yang diberikan kerajaan dijoli. Cuma bila berlaku aktiviti protes atau seumpamanya yang bersifat kontroversi, merekalah yang awal melibatkan diri padahal mereka tidak tahu menahu tentang matlamat aktiviti tersebut sekadar menjadi anjing yang menyalak bukit. Sungguh jijik sekali amalan ini.

Lagu ini merupakan keluh-kesah pencinta bangsa yang cukup dukacita melihat nasib bangsanya yang melarat di tanah air sendiri. Segala keringat yang dicurahkan tidak berbaloi kerana negara di bawah kekuasaan orang lain. Semuanya berpunca dari kelemahan orang Melayu sendiri. Ya, tidak syak lagi, perebutan kuasa dan harta yang membawa kearah perpecahan ditambah lagi dengan kurangnya ilmu pengetahuan menjadi penyumbang terbesar kearah kehancuran bangsa Melayu. Sejarah telah membuktikan kenyataan ini di mana kita dapat lihat satu-persatu negeri Melayu diambil secara paksa mahupun melalui tipu daya Sistem Residen oleh British dari Melaka sehinggalah negeri yang berhubungan rapat dengan British, Johor. Orang Melayu sendiri hanya mampu melihat tetapi tidak berdaya berbuat apa-apa sehinggalah bangkitnya pejuang nasionalisme menyeru kearah perpaduan yang membuahkan hasil yang begitu berharga, kemerdekaan.

Lalu dengan sebab tidak mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku di masa lampau, maka anak Melayu bakal kembali menjadi terkebelakang. Sepertinya sejarah ingin berulang lagi, perebutan kuasa dan pengaruh, perpecahan yang berpaksikan perbezaan parti politik, kelalaian dibuai hiburan, masalah sosial dan masalah akhlak membelengu kehidupan anak Melayu. Sungguhpun sejarah telah menggambarkan betapa dahsyatnya kesan daripada kealpaan ini, anak Melayu masih terus lalai mungkin kerana mereka tidak merasakan sendiri bagaimana rasanya diperhambakan orang ditempat sendiri, bagaimana dihina, harta dirampas dan diperlakukan seperti manusia yang tidak punya maruah. Peluang pendidikan dipersiakan, harta negara dihabiskan, kemudahan awam dirosakkan. Inilah sikap manusia yang tidak bertamadun.

Maka dengan itu, saya menyeru diri saya sendiri dan juga seluruh anak Melayu supaya sedar dengan situasi yang menggugat masa depan kita semua. Mungkin sahaja esok atau lusa, sejarah akan berulang lagi dek keseronokan anak Melayu dengan dunia mereka. Berubahlah, jadilah manusia yang mengutamakan ilmu, patuhi kehendak agama dan berhiburlah serta bergaullah mengikut batasannya. Ya, memang benar ramai anak Melayu yang berjaya. Itu tidak saya nafikan dan tidak pula saya kejikan. Yang saya bimbang ialah keadaan anak Melayu yang masih leka dan tidak mementingkan masa depan agama, bangsa dan negara. Inilah hakikatnya. Jika anda tidak percaya, anda sendiri boleh membuat kajian tentang gaya kehidupan anak Melayu terutama di bandar, maka anda akan lihat apa yang saya nyatakan bukanlah sekadar memperbesar-besarkan cerita tetapi tidak lain hanyalah kebenaran.

No comments: