Pages

22 August 2008

Turun dan Turunlah Lagi!

Pengumuman tentang penurunan harga minyak pastinya memberikan kegembiraan kepada ramai orang termasuk saya sungguhpun saya tidak memiliki kenderaan bermotor yang memerlukan minyak kerana kadang-kala saya meminjam kereta bapa saya untuk berjalan-jalan. Walaupun penurunannya pada kadar yang sedikit, 15 sen bagi petrol kepada RM2.55 dan 8 sen untuk diesel kepada RM2.50 berbanding peningkatan yang begitu mendadak harga petrol, 78 sen dari RM1.92 kepada RM2.70. Saya pasti hal ini memberikan kelegaan kepada sejumlah besar rakyat Malaysia terutama bagi yang berpendapatan rendah dan sederhana yang begitu terhimpit dek kenaikan harga minyak sepanjang kira-kira dua ke tiga bulan lepas. Manakan tidak, kenaikan harga minyak turut menyebabkan kenaikan harga barang di pasaran.

Belum pun penurunan harga minyak berkuat-kuasa, malam ini telah ada rakan saya yang merungut yang penurunan harga tersebut begitu sedikit dan tidak begitu memberi beza. Seharusnya kita menjadi insan yang bersyukur, saya juga terkilan kerana penurunan yang sedikit namun kita harus ingat pengurangan 15 sen seliter akan menjadikan pengurangan RM1.50 untuk 10 liter, RM15.00 untuk 100liter dan seterusnya. Adalah lebih baik dengan pengurangan harga yang sedikit berbanding tiada penurunan langsung. Mungkin saja harga minyak akan terus turun, amin.

Saya berpendapat mungkin kerajaan tidak dapat memberikan penurunan harga yang banyak kerana kita sendiri dapat lihat bagaimana kenaikan harga minyak dunia berlaku begitu drastik sekali namun penurunan harga minyak berlaku secara perlahan-perlahan. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana mengotakan janji untuk merujuk harga minyak tempatan berdasarkan perubahan harga minyak global tidak kiralah sama ada ini adalah berhubung-kait dengan pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi atau tidak atau mungkin hadiah sempena Hari Kemerdekaan ke-51. Yang pastinya mereka telah mengotakan janji, itu yang utama.

Saya tertarik dengan cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar semasa debat harga minyak tempoh hari (sungguhpun saya tidak arif sama ada cadangan itu mampu dilaksanakan atau tidak) iaitu dengan menjimatkan wang dari sektor lain seperti TNB dan wang penjimatan yang diperolehi digunakan sebagai subsidi untuk menurunkan lagi harga minyak. Tapi malangnya cadangan ini gagal difahami oleh lawannya yang terus mengulang-ulang bahawa wang Petronas telah banyak yang disumbangkan kepada kerajaan untuk dijadikan subsidi. Datuk Seri Anwar bukannya meminta supaya Petronas menambahkan lagi jumlah wang untuk diberikan kepada kerajaan tetapi wang diperoleh melalui penjimatan dalam sektor-sektor lain. Sama ada lawannya tidak faham atau sengaja buat-buat tidak paham itu saya tidak pasti. Tapi tidak kira yang mana satupun, Malaysia tetap malang mempunyai seorang menteri yang tidak mampu memahami cadangan yang telah dikemukakan dengan jelas lagi nyata sebegitu.

Walau apapun, seperkara yang kita perlu ingat adalah kita tetap perlu berjimat-cermat kerana berjimat bukannya perlu dilaksanakan dalam keadaan gawat sahaja tetapi perlu dipraktikkan setiap masa. Entah esok entahkan lusa, harga minyak mugkin sahaja boleh naik lagi, siapa yang tahu. Bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan adalah tidakan orang-orang yang bijak manakala untuk tergadah setelah terhantuk ternyata suatu tindakan yang rugi kerana pastinya kita tidak mahu belajar dengan cara yang kasar dan merugikan jika sekiranya ada jalan yang lebih baik untuk kita memperolehi pengajaran yang sama.

2 comments:

Anonymous said...

Syukur tu memang syukur, tapi saya rasa, harga ni boleh diturunkan lagi. Tak silap saya, masa harga naik hari tu, Sharir Samad pernah berkata diorg ada tiga pilihan harga. Salah satu harga ialah RM2.50 (untuk RON97) -- lebih murah dari harga sekarang. Tapi saya tak pasti yang ni. Nanti nak confirm.. nak cari news lama...

Raafiq said...
This comment has been removed by a blog administrator.