Pages

25 August 2008

Perlembagaan Islam, Realiti atau Fantasi?

Cakap-cakap berkaitan usul penggabungan UMNO dan PAS tidak lagi kedengaran di media. Nampak ketara hal ini merupakan usul 'hangat-hangat tahi ayam' apabila hanya heboh diperkatakan pada permulaannya sahaja tetapi langkah susulan ke arah menjadikannya suatu kenyataan tidak menampakkan kelibat. Bahkan yang semakin hangat adalah isu yang tidak membawa faedah kepada rakyat malah menjatuhkan lagi maruah bangsa, agama dan negara. Tidak lain dan tidak bukan, isu liwat. Pelik tapi benar, perkara sebegini yang lebih diutamakan dan menjadi kegemaran ramai termasuk golongan bijak-pandai manakala hal yang berpotensi memberikan kesejahteraan secara menyeluruh kepada penduduk Malaysia diabaikan.

Tapi setelah difikirkan, mungkin juga usul penggabungan UMNO dan PAS ini menjadi sepi berikutan syarat yang diletakkan oleh Datuk Seri Nik Aziz sendiri yang mahukan Syariah diaplikasikan sepenuhnya di Malaysia. Syarat ini begitu berat sekali untuk dipenuhi oleh mana-mana parti pemerintah di seluruh dunia. Manakan tidak, dengan bilangan kumpulan dan individu bukan Islam yang menolaknya, ditambah lagi dengan pelbagai alasan yang diberikan bagi memustahilkan proses perlaksanaan Syariah. Ini belum termasuk sebilangan umat Islam sendiri yang begitu lazim dengan sistem sekular dicampur dengan fahaman liberal turut menolak Syariah demi kepentingan peribadi.

Semuanya berpunca akibat sikap prejudis orang bukan Islam bahkan umat Islam sendiri terhadap Shariah dan ini adalah hasil daripada kegagalan cerdik-pandai Muslimin dalam menerangkan keadilan dan kesejahteraan yang dibawa melalui pensyariatan Syariah. Rata-rata mereka menganggap Syariah begitu kejam kerana hukumannya yang begitu berat (seperti rejam sampai mati, sebat dan potong tangan) dan tidak sesuai dengan zaman moden dan keadaan negara yang penduduknya berbilang agama.

Tapi ramai yang tidak mengerti dan ramai pula yang tidak mahu mengerti bahawa Syariah itu bersifat syumul(sempurna) dan murunah(fleksible) yang menjadikannya sesuai untuk setiap masa dan keadaan. Sungguhpun hukuman yang ditetapkan adalah berat namun proses untuk mensabitkan kesalahan adalah begitu terperinci dan perlu memenuhi semua garis panduan yang ditetapkan kerana matlamat Syariah bukan untuk menghukum sewenang-wenangnya tetapi untuk menghukum mereka yang benar-benar bersalah sahaja. Sebarang keraguan akan menyebabkan hukuman asal tidak dijalankan dan diganti dengan hukuman yang lebih ringan(ta'zir).

Sebagai contoh, ramai orang beranggapan menurut Syariah sesiapa yang mencuri perlu dipotong tangannya(hukum hudud). Namun mereka tidak faham, terdapatnya syarat-syarat yang ketat untuk menjatuhkan hukuman hudud tersebut. Sebagai contoh, sekiranya seseorang mencuri duit RM10.00 adakah dia akan dipotong tangan? Jawapannya tidak. Islam itu tidak kejam malah amat berlembut dan pengasih kepada penganutnya. Terdapat sejumlah nilai yang telah ditetapkan oleh Islam (sebahagian ulama' mengatakan suku dinar) sebagai rujukan bagi membolehkan seorang pencuri itu dihukum hudud. Sekiranya jumlah yang dicuri melebihi had tersebut barulah si pencuri layak dihukum hudud. Malah sekiranya si pencuri mencuri untuk membeli makanan kerana kebuluran, dia tidak akan dihukum hudud tetapi diganti dengan ta'zir.
Sekiranya umum mengetahui hakikat ini, maka proses pengaplikasian Syariah di Malaysia pastinya akan menjadi suatu kerja yang lebih mudah berbanding situasi sekarang.

Dari sudut yang satu lagi, saya tertarik dengan pendapat ustaz yang mengajar saya Bahasa Arab yang berasal dari Sudan. Beliau menyatakan (dalam bahasa Arab yang saya terjemahkan lebih kurang seperti berikut):
"Saya bersetuju bahawa Syariah tidak dapat dilaksanakan di Malaysia pada masa sekarang. Dulu di negara saya telah datang seorang pemimpin yang mengubah keseluruhan sistem perundangan negara kepada Syariah. Maka banyaklah orang yang kudung tangan, disebat dan direjam. Lalu datang seseorang menasihatinya supaya menghentikan perlaksanaan Syariah sekiranya dia tidak mahu majoriti penduduk Sudan direjam, disebat dan kudung tangan dan kaki. Apa yang penting adalah tarbiyyah(didikan) kepada masyarakat supaya mereka sendiri yang cinta dan inginkan Syariah, dan mereka sendiri yang akan berusaha ke arah menegakkannya."

Daripada sini kita dapat lihat sebuah pengajaran yang amat bermakna dan patut diambil serius oleh para pemimpin di Malaysia. Memang benar dan telah saya ulang beberapa kali dalam post sebelum ini yang kita sebagai umat Islam berkeyakinan sepenuhnya kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai undang-undang teragung namun kita harus ingat bahawa dalam kita mengharungi kehidupan zaman ini setiap tindakan yang ingin diambil haruslah dengan berhikmah(bijaksana). Adakah kita mahu mengulangi sejarah yang telah berlaku di Sudan sebagaimana yang diceritakan oleh ustaz saya?

Kita harus faham bahawa pensyariatan Shariah adalah bertujuan membawa rahmat dan kesejahteraan keseluruh alam, bukannya ingin membawa kemushanan kepada umat manusia. Apa yang telah berlaku di Sudan bukanlah suatu kesejahteraan tetapi kemusnahan kepada umat manusia kesan daripada tindakan yang tidak bijaksana. Namun begitu, ini tidak bermakna kita berpegang bahawa undang-undang sivil itu adalah lebih baik daripada Syariah kerana yang sedemikian itu adalah dilarang dalam Islam.

Saya seorang Muslim, ustaz saya juga seorang Muslim dan semestinya kami sangat berkehendak supaya Syariah diguna-pakai secara menyeluruh di negara ini namun apa yang penting sekarang ialah mendidik masyarakat dan memberi kesedaran kepada mereka supaya mereka sendiri yang inginkan Syariah kerana kesempurnaan, keadilan dan kesejahteraan yang ada pada syariah itu sendiri. Melalui langkah ini, rakyat Malaysia sendiri akan berusaha menegakkan Syariah, patuh dan taat kepadanya serta memelihara kedaulatannya secara sukarela. Dan melalui ini juga matlamat Syariah untuk membawa kesejahteraan secara menyeluruh akan tercapai.

Jadi setelah saya ceritakan secara panjang lebar, kemungkinan ke arah wujudnya suatu Perlembagaan Islam di Malaysia saya serahkan kepada pandangan anda sekalian. Suatu realiti atau hanya fantasi? Kebijaksanaan dalam mengambil tindakan sangat penting kerana ini akan memberi kesan dramatik terhadap seluruh rakyat Malaysia yang kini mahupun di masa akan datang. Keinginan kita sebagai umat Islam akan wujudnya Perlembagaan Islam di Malaysia sangat tinggi namun setiap gerak langkah ke arahnya perlulah disusun rapi supaya tidak membawa penyesalan di kemudian hari. Seperti yang saya kata:

"Untuk tergadah setelah terhantuk ternyata suatu tindakan yang rugi kerana pastinya kita tidak mahu belajar dengan cara yang kasar dan merugikan jika sekiranya ada jalan yang lebih baik untuk kita memperolehi pengajaran yang sama."

3 comments:

hazwan garsides said...

boleh jd realiti. tp kne buat basic foundation dlu laa

xkn tetibe je nk implement shariah...

ijad said...

salam.. tak nak join gath ke..

Raafiq said...

hamba sgt setuju dengan pandangan tuan hamba..

apa yg pentingnya di sini adalah,bhawasanya kita perlulah memantapkan dlu pegangan dan fahaman bangsa n umat islam kita ni..

TAKBIR!!