Pages

31 August 2008

Mencerap Hilal Ramadhan

Hari ini merupakan tarikh yang ditetapkan untuk mencerap hilal (anak bulan) Ramadhan. Tujuannya, menentukan bilakah bermulanya bulan Ramadhan. Bila sebut sahaja Ramadhan, perkara pertama yang terlintas di fikiran majoriti umat Islam adalah ibadah puasa yang merupakan antara rukun-rukun Islam. Dengan sebab itu, proses pencerapan hilal adalah sangat penting kerana menjadi penentu bila sepatutnya umat Islam mula berpuasa.

Tahun lepas, beberapa ketika sebelum Ramadhan bermula, seorang daripada kawan saya menimbulkan isu berkaitan awal bulan Ramadhan. Dia yang tidak berpuas hati apabila terdapat perbezaan awal bulan Ramadhan di antara negara yang berbeza, mula berhujah. Semuanya berpunca daripada pengaruh suatu organisasi yang disertainya yang cukup gemar membangkitkan isu-isu kontroversi seumpama itu.

Terawal, dia mempersoalkan bagaimana boleh berlaku peristiwa seumpama Arab Saudi sudah mula berpuasa hari ini tetapi Malaysia mula berpuasa esok sedangkan bumi ini hanya mempunyai satu bulan sahaja dan kitaran bulan dari suatu tempat ke tempat paling jauh dibumi, perbezaannya tidak sampai satu hari. Turut disertakan dalam hujahnya ialah andaiannya terhadap peristiwa perbezaan permulaan bulan Ramadhan yang berlaku di zaman sahabat Rasulullah berlaku disebabkan masalah komunikasi.

Dia mengekspresikan pendapat yang diperoleh daripada organisasi tersebut yang mengatakan bahawa sahabat Rasulullah yang telah melihat anak bulan tidak sempat menyampaikan berita tersebut ke daerah yang jauh kerana sistem pengangkutan dan komunikasi kuno tidak seperti zaman sekarang yang mempunyai teknologi komunikasi dan pengangkutan yang pantas. Jadi berita pada masa itu tidak dapat disampaikan dengan cepat. Maka dengan sebab itulah sahabat Rasulullah di lain-lain tempat mula berpuasa pada hari yang berlainan.

Lantas dia mengemukakan hukum bahawa apabila seorang Islam telah melihat hilal, maka umat Islam seluruh dunia wajib mula berpuasa pada hari yang sama. Apabila ditanya mengapakah ulama’ Malaysia tidak sedar akan hakikat ini sekiranya benar apa yang dihujahkannya, dia berkata ulama’ Malaysia berfatwa tidak mengikut kehendak Islam tapi mengikut kehendak raja-raja dan pemimpin politik. Betapa dia bersifat prejudis terhadap ulama’ Islam. Semuanya kerana pengaruh organisasi tersebut.

Maka setelah saya menemukan jawapan bagi persoalan ini, saya ingin berkongsi dengan anda sekalian supaya tidak berlaku kekeliruan dan tidak mudah dipengaruhi dengan ideologi organisasi yang fanatik dengan pendapat sendiri dan tidak mahu menerima pendapat orang lain.

Cara penetapan bulan Ramadhan dinyatakan oleh Rasulullah melalui sabdanya [riwayat Bukhari dan Muslim]:

صوموا لرؤية وأفطروا لرؤية فإن غم عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين يوما
“Berpuasalah kamu kerana melihatnya (bulan) dan berbukalah kamu kerana melihatnya, sekiranya kamu terhalang melihatnya maka sempurnakanlah bilangan Sya’ban selama 30 hari.”

Menurut Mazhab Syafie’, terdapat 2 kaedah menentukan Ramadhan:

  1. Rukyatul Hilal: Melihat anak bulan, seorang saksi yang adil menyatakan kesaksiannya dihadapan qadi yang dia telah melihat anak bulan.
  2. Hisab: Menggenapkan bilangan bulan Sya’ban 30 hari, kaedah ini digunakan jika anak bulan tidak kelihatan kerana awan tebal atau sebagainyan ataupun kerana tiada saksi yang datang untuk menyatakan dia telah melihat anak bulan.

Disahihkan oleh ibnu Hibban suatu riwayat dimana seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah lalu berkata:

Arab Badwi : Sesungguhnya aku telah melihat anak bulan.
Rasulullah : Apakah kamu menyaksikan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah?.
Arab Badwi : Ya.
Rasulullah : Apakah kamu menyaksikan bahawa Muhammad itu utusan Allah?
Arab Badwi : Ya.
Rasulullah : Wahai Bilal ishtiharkan kepada orang ramai supaya berpuasa esok hari.

Menurut Iman Syafie’, apabila kelihatan anak bulan di suatu negeri, penduduk negeri dan mereka yang tinggal berhampiran dengan negeri itu wajib berpuasa manakala negeri-negeri yang jauh tidak wajib berpuasa. Ukuran jauh atau dekat adalah berdasarkan perbezaan matla’ (tempat terbit anak bulan).

Dalil yang dikemukakan mazhab Syafie’ adalah athar (kata-kata sahabat) yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Kuraib:

“Aku telah melihat anak bulan Ramadhan sewaktu aku di Syam. Aku melihatnya pada malam Jumaat. Kemudian aku pergi ke Madinah pada akhir bulan”. Lalu di Madinah berlaku dialog antara Kuraib dan Ibnu Abbas:

Ibnu Abbas : Bila kamu semua melihat anak bulan?
Kuraib : Kami melihatnya pada malam Jumaat.
Ibnu Abbas : Apakah kamu melihatnya?
Kuraib : Ya dan orang ramai juga telah melihatnya lalu mereka semua berpuasa dan Muawwiyah juga berpuasa.
Ibnu Abbas : Kami semua melihatnya pada malam Sabtu dan kami terus berpuasa sehingga 30 hari atau kami melihatnya.
Kuraib : Apakah tidak cukup dengan rukyah Muawwiyah dan puasanya?
Ibnu Abbas : Tidak, beginilah yang diperintahkan oleh Rasullullah.

Daripada athar di atas maka jelaslah bahawa peristiwa berlainan permulaan puasa di lain-lain negara bukanlah perkara yang ganjil atau salah. Dan perbezaan ini disahkan oleh sahabat Rasulullah sendiri yang mengaitkan hal yang sedemikian sebagai perintah daripada Rasullullah. Apabila kelihatan anak bulan di suatu negeri, penduduk negeri dan mereka tinggal yang berhampiran dengan negeri itu wajib berpuasa manakala negeri-negeri yang jauh tidak wajib berpuasa.

Apa yang diperkatakan oleh kawan saya itu hanyalah andaian yang tidak berasaskan dalil. Tafsiran yang dibuat dan alasan masalah komunikasi jelas tidak bertepatan dengan petunjuk syara’. Jika benar pendapat yang mengatakan bahawa sekiranya seorang Islam melihat anak bulan maka seluruh dunia perlu berpuasa pada hari yang sama, maka pastinya Ibnu Abbas dan para penduduk Madinah akan berpuasa sebagaimana Kuraib dan Muawwiyah serta penduduk Syam yang lain. Namun hal sedemikian tidak berlaku bahkan Ibnu Abbas berkata rukyah Muawwiyah dan peduduk Syam yang lain tidak cukup untuk mewajibkn mereka berpuasa sehinggalah mereka sendiri yang melihat anak bulan atau genap bilangan 30 hari.

Wallahu a’lam wa ‘ilmuhu atam.

3 comments:

Anonymous said...

macam ku tau sape jek 'kawan' ko tu..haha...dan cam kenal jek 'organisasi' tu...haha...mende r ko xpuas ati dengan die..haha..pastu,yang aku tak puas ati,sejak bile r ko jd PENDETA nih?..geli geliman mendengornye..haha...kalau aku layak r..hahaha

soleh said...

wei syfdh...
ko rock la..haha..
ak sokong dn brada pd phk y bnar..
ak sokong dgn hujah n bukti ko..
truskan prjuangan..
takbir..!!!

Hasif Hadi said...

we behind you chong!!!