Pages

08 September 2008

Hadith Fadhilat Ramadhan

Hari ini genap lapan hari berpuasa. Alhamdulillah kelihatannya jumlah pengunjung masjid ketika solat Tarawikh masih lagi ramai berdasarkan pengamatan saya di Masjid Jamek Kg Baru, Madrasah Rajaiah, Kg baru dan Masjid Bandar Baru Nilai. Semoga keadaan sebegini akan kekal sehingga ke akhirnya dan moga-moga bakal bertambah baik.

Kelihatannya di kaca televisyen tiada lagi paparan tentang fadhilat-fadhilat menunaikan solat Tarawikh sebagaimana tahun-tahun lalu. Mungkin sudah ada kesedaran yang kebanyakan hadith-hadith tentang fadhilat Ramadhan yang didaparkan tersebut bersifat dhaif(lemah) dan ada juga yang maudhu'(palsu) . Manakan tidak, salah satu sifat hadith dhaif adalah menceritakan ganjaran yang amat besar untuk ibadah yang sedikit. Sebagai contoh, dikurniakan pahala sebagaimana orang yang membaca kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Qur'an bagi mereka yang solat Tarawikh pada malam sekian.

Dahulu-kala, terdapatnya segelintir orang yang mereka-reka hadith sendiri bertujuan untuk menggalakkan orang mengerjakan iabadah. Maklum saja manusia sememangnya sangat mudah tertarik kepada ganjaran yang besar. Niat mereka murni namun sayangnya mereka lupa atau terlalai bahawa di dalam Islam terdapatnya prinsip 'Matlamat Tidak Menghalalkan Cara". Barangkali juga mereka tidak bertemu hadith mutawatir daripada Rasulullah yang berbunyi [riwayat Bukhari dan Muslim]:

من كذب عليا متعمدا فليتبوء مقعده من النار
"Barangsiapa yang berbohong ke atas aku maka tempahlah tempat duduknya di neraka"

Tidak kira apa jua matlamatnya, sungguhpun baik, mereka-reka suatu perkara yang tiada dalam agama itu adalah terlarang. Kepada kita semua, amalan yang terbaik adalah yang bertujuan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Kerana syurga itu adalah hasil belas ihsan-Nya kepada hamba-Nya.

No comments: