Pages

07 August 2008

Histeria dan Saka

Dalam tempoh dua bulan lepas, saya sempat mengikuti dua siri kursus yang bersifat mistik. Bukan kerana kursus ini diadakan di alam ghaib ataupun kerana penceramahnya bukan manusia. Tapi kerana topik perbincangannya yang berkisar tentang dua fenomena yang melibatkan kejahatan makhluk halus iaitu histeria dan saka. Rata-rata orang Melayu begitu maklum sekali dengan dua fenomena tersebut kerana sejarah kehidupan orang Melayu zaman dahulu-kala begitu berkait rapat dengan entiti yang dinamakan makhluk halus ini.

Sebagai seorang Islam, kita tidak dapat menafikan kewujudan perkara ghaib kerana percaya kepada perkara ghaib itu adalah cabang keimanan kepada Allah. Dosa, pahala dan siksa kubur adalah antara perkara ghaib yang wajib diimani. Tidak lupa juga kewujudan makhluk ghaib seperti jin dan syaitan yang telah dikhabarkan oleh Allah di dalam kitab-Nya dimana makhluk ini telah bersumpah untuk menyesatkan anak-anak Adam sehingga Hari Kiamat. Rasullullah sendiri pernah diganggu oleh makhluk halus ini ketika Baginda cuba disihir sehingga membawa kepada penurunan Surah al-Falaq.

Namun di zaman serba moden ini, ramai orang yang kononnya ‘moden’ mengambil langkah memperlekehkan hakikat ini dan ada juga yang menidakkan kewujudan fenomena tersebut walaupun hakikatnya telah banyak bukti yang menunjukkan kejadian fenomena mistik ini malah pernah berlaku pada diri saya sendiri namun tidak perlu saya ceritakan di sini. Mungkin mereka mahu mengalami pengalaman mistik itu sendiri barulah mereka akan percaya. Dan ada juga yang terlalu obses dengan kewujudan jin dan syaitan sehinggakan tegar mengadakan rancangan khas untuk mencari makhluk ini. Ketahuilah sesungguhnya yang tersebut adalah perbuatan yang amat bodoh kerana Rasulullah sendiri telah mengingatkan kita supaya jangan mencari 'musuh' sama ada dari kalangan manusia ataupun jin.

Histeria atau yang orang Melayu sebut sebagai ‘meracau’ adalah suatu fenomena yang berpunca daripada gangguan jin ataupun syaitan pada individu yang ‘lemah’menyebabkan makhluk jahat ini mengambil kesempatan untuk menguasai diri manusia. Yang dimaksudkan dengan ‘lemah’ ialah keadaan seperti marah yang keterlaluan, tekanan emosi dan psikologi, takut yang melampau dan berada dalam keadaan kotor terutamanya wanita yang sedang haid. Maka dengan sebab itu kita lihat di akhbar kerap-kali berlaku fenomena histeria yang melibatkan kaum wanita. Malahan fenomena ini boleh berjangkit dari satu individu ke individu yang lain kerana jin yang menyebabkan histeria ini bersifat suka berpindah-randah sesuai dengan sabda Nabi Muhammad dari Abu Tha’labah:

"Jin itu mempunyai tiga jenis, satu jenis yang mempunyai sayap yang terbang di udara, satu jenis yang berupa ular dan dan anjing dan satu jenis yang berpindah randah."

Turut termasuk dalam kategori jin yang suka berpindah-randah adalah saka. Saka didefinasikan sebagai perjanjian antara manusia dan jin dengan sebab-sebab tertentu, syarat-syarat tertentu dan untuk tempoh tertentu diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi secara terpaksa atau rela. Orang-orang Melayu dahulu kala membela saka dengan tujuan seperti menjaga dan mengusahakan kebun dan ladang, menjaga rumah, mengamalkan aktiviti perbomohan dan memperkasa ilmu persilatan. Tapi hakikatnya meminta bantuan jin dan syaitan hanyalah membawa kepada kesesatan dan kehancurun diri si pelaku itu sendiri malah kepada keturunan dan kaum kerabatnya. Hal yang demikian telah dirakamkan oleh Allah di dalam kata-kata-Nya (Surah al-Jin, 6):

"Dan bahawasanya ada beberapa lelaki dari kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambahkan bagi mereka dosa dan kesesatan..."

Bagi mereka yang percaya dengan kewujudan makhluk-makhluk jahat ini kita seharusnya mempersiapkan diri kita dengan benteng untuk menghindarkan diri dari gangguan jin dan syaitan dengan mengerjakan solat lima waktu dan mengingati Allah di setiap masa. Bagi mereka yang tidak percaya, mungkin mereka menunggu pengalaman 'bermesra' bersama dengan makhluk-makhluk ini barulah akan datang keyakinan pada mereka tentang kewujudan makhluk tersebut. Ingat dan yakinlah bahawa tiada sesuatu pun yang mampu memberi faedah atau mudharat kepada kita melainkan dengan izin Allah. Surah al-Fatihah, 5:

"Kepada Engkau ya Allah kami beribadat dan kepada-Mu jua kami minta pertolongan."

No comments: