Pages

28 July 2008

Perpaduan Muslimin vs Perpaduan Melayu


Menulis artikel sebegini mungkin mendatangkan bahana kepada sang penulis seperti saya yang masih lagi merupakan seorang pelajar kerana mungkin disalahertikan dengan penglibatan yang berunsur politik. Namun sedemikian saya tidak melihatnya dari sudut yang sedemikian memandangkan saya sama sekali tidak bertujuan menyentuh isu-isu politik tetapi hanyalah melahirkan keprihatinan saya terhadap keadaan semasa yang berkisar tentang perpaduan di kalangan rakyat malaysia.

Kenyataan YAB Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz yang mencadangkan pembubaran kedua-dua parti UMNO dan PAS bagi membentuk suatu parti baru berpaksikan Islam sebagai matlamat perjuangannya dan membelakangkan perjuangan bangsa mengundang pelbagai reaksi. Tidak kurang juga banyak pihak yang tidak senang duduk dek kerana kemungkinan besar kedudukan mereka tergugat sekiranya usul tersebut menjadi kenyataan. Ada yang berkata cadangan sedemikian perlu dikaji dengan mendalam dan ada juga yang berpendirian pembubaran adalah tidak perlu memandangkan perbincangan (muzakarah@muqabalah@apa saja istilahnya) antara kedua belah pihak adalah memadai bagi menyelesaikan permasalahan perpaduan orang Melayu disamping pihak yang menentang keras cadangan tersebut.

Senario ini telah memanggil saya bagi mengutarakan sedikit sebanyak pendapat saya yang tidak sepertinya ini sebagai salah satu tanda keprihatinan saya sebagau seorang rakyat yang cinta akan negaranya. Sesuatu yang harus difahami bahawa syarat penyatuan kedua parti itu adalah pembentukan suatu parti baru yang mesti berasaskan perjuangan membela Islam dan meninggalkan perjuangan bangsa. Syarat yang sedemikian mungkin tidak memberi kesan kepada Pas yang memang sejak tarikh penubuhannya memperjuangkan Islam (sepertimana yang mereka laungkan) tetapi berpotensi menimbulkan kesulitan kepada UMNO yang telah sekian lama bertunjangkan pembelaan bangsa Melayu.

Oleh yang demikian, untuk memastikan usul ini menjadi realiti perbincangan utama haruslah berkisar tentang keharusan memberi keutamaan kepada penyatuan Muslimin atau penyatuan orang Melayu, atau dalam bahasa yang lebih mudah yang manakah yang lebih utama perpaduan Muslimin atau perpaduan Melayu?

Bagi diri saya sendiri, perpaduan muslimin itu adalah lebih utama daripada perpaduaan Melayu. Pendapat sedemikian mungkin mendatangkan kemarahan para pejuang bangsa Melayu yang fanatik dengan agenda perjuangan mereka. Tetapi mereka sesungguhnya telah lupa sifat fanatik terhadap perjuangan bangsalah yang membawa kearah kemusnahan bangsa itu sendiri dan hanya perjuangan membelaa agama sahaja yang akan membawa kepada kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kenyataan ini bukanlah suatu omongan kosong kerana hal sedemikian telah berlaku di dalam lipatan sejarah di mana kita sendiri boleh melihat kemunduran dan kehancuran yang berlaku di zaman jahiliah tidak lain dan tidak bukan berpunca daripada semangat “fanatik dungu” mereka terhadap qabilah mereka yang akhirnya memudharatkan diri mereka sendiri dan mengheret mereka ke kancah perperangan, permusuhan, masalah sosial dan kemunduran.

Jika sekiranya para pejuang melayu turut mengamalkan “fanatik dungu” seperti ini maka lihatlah kesudahannya nanti bakalan sama sebagaimana yang berlaku di zaman jahiliah. Sebagai suatu pedoman telah jelas kini perjuangan membela keistimewaan orang melayu telah dieksploitasi oleh generasi muda bangsa Melayu itu sendiri untuk bermalas-malasan di usia muda dan hanya mengharapkan hak atau kuota istimewa yang dikurniakan oleh Perlembagaan Malaysia.

Sebaliknya, sejarah juga telah mempertontonkan sebaik sahaja Islam datang mengharmonikan bumi Arab maka kuat dan majulah bangsa Arab tanpa mengira puak atau qabilah dan tanpa perlu mereka bersusah-payah memperjuangkan penyatuan bangsa Arab kerana semuanya telah tertakluk di dalam kesejahteraan dan kesempurnaan Islam itu sendiri. Ini kerana semangat ingin maju, perpaduan dan kesatuan kearah kejayaan itu lahir secara sendirinya daripada persaudaraan sesama umat Islam.

Sekiranya pejuang bangsa Melayu komited dalam memperjuangkan perpaduan umat Islam, maka perpaduan bangsa Melayu akan terbentuk secara sendirinya sebagaimana yang telah berlaku kepada bagsa Arab 1400 tahun dahulu. Percayalah sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya apabila Dia telah berfirman:

يأيها الذين امنوا إن تنصروا الله ينصركم ويتبت أقدامكم
"Wahai orang-orang beriman sekiranya kamu membantu Allah maka Allah akan membantu kamu dan mengukuhkan kedudukan kamu..."
[Surah Muhammad: 7]

Dalam pada itu, kita haruslah sentiasa berwaspada dan beringat bahawasanya orang-orang kafir itu tidak pernah sekali-kali akan senang dengan perpaduan umat Islam dan akan berusaha dengan segala daya upaya untuk menjahanamkan sebarang usaha ke arah perpaduan ini. hal ini telah lama dikhabarkan oleh Allah di dalam kitab-Nya:

ولن ترضى عنك اليهود ولن النصرى حتى تتبع ملتهم
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani itu tidak sekali-kali akan senang dengan kamu sehingga kamu mengikut ajaran agama mereka..."
[Surah Al-Baqarah: 120]

2 comments:

bel said...

Saya setuju dgn Tuan Blogger. Cuma Tuan Blogger harus faham, Melayu dan Islam telah pun menjadi sinonim. Kalau kita kaji sejarah, Islam itu adalah Melayu dan Melayu itu adalah Islam. Malangnya, orang Melayu zaman sekarang tidak mengetahui asal-usulnya sepenuhnya. Oleh itu, terjadi lah konflik identiti dan pelbagai masalah.

Jika kita berpegang pada konsep ini, barulah jelas bahawa apabila kita mempertahankan Melayu, kita mempertahankan Islam pada masa yang sama.

TETAPI, yang mustahak di sini ialah, Islam harus diberi keutamaan.

tensaitaicho_mastura said...

Saudara Bel,
Islam untuk semua. Bukan untuk orang Arab dan orang melayu saje. Seperti namanya agama Kristian dari Jesus Christ, namanya agama Buddha dari Siddharta Gautama Budda, Confucious dari Confuciuous, Agama yahudi kepadanya Bangsa Yahudi. Ada apa2 kaitan bangsa dgn Agama Islam dari nama junjungan kita, Muhammad s.a.w?
Sprt yg you all maklum, Islam; salam, kedamaian. untuk semua.

Jadi, tidak salah melabel MELAYU ITU ISLAM sprt didalam perundangan *artikel 14 kalo tak silap. betulkan saye ek tuan blogger.

Demo ne, ISLAM ITU ADALAH UNTUK SEMUA. bukan islam itu adalah melayu.

Sy sokong ketuanan ISLAM. ALLAHUAKHBAR!!!!!